PDRM sasar kemenangan menentang Pahang

Mohamad Ishak Kunju Mohamad
Mohamad Ishak Kunju Mohamad
A
A
A

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyasar untuk meraih tiga mata ketika menentang Pahang dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Sabtu depan.

Ketua jurulatihnya, Mohamad Ishak Kunju Mohamad berkata, pasukannya amat memerlukan lebih banyak mata memandangkan pasukan ketika ini defisit satu mata selepas enam perlawanan.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menolak tiga mata daripada PDRM susulan kegagalan pasukan itu melunaskan tunggakan gaji yang melibatkan pemain dan pegawai pasukan.

PDRM dan Felda United berkongsi satu mata setelah seri 1-1 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi.

"Kami bermula agak perlahan pada 15 minit pertama sebelum pemain kami meningkatkan rentak mereka, tetapi kadang-kadang anda tidak boleh meminta lebih banyak daripada pemain kerana kami hanya mempunyai dua pemain import, sementara selebihnya adalah anggota polis.

"Saya berpendapat pemain bermain dengan baik dalam perlawanan ini kerana mereka benar-benar memberikan yang terbaik walaupun hasilnya tidak menyebelahi kami," katanya pada sidang media selepas perlawanan, malam tadi.

Sementara itu, pengendali Felda United, Mohd Nidzam Jamil kurang berpuas hati dengan kutipan satu mata memandangkan pemainnya gagal memanfaatkan peluang terhidang terutamanya pada separuh masa kedua perlawanan.

“Saya kurang berpuas hati kerana kita sudah buat persediaan rapi sebelum menghadapi perlawanan ini, dan kita tidak jangka mereka pamerkan permainan sebegini, selain melepaskan gol mudah kepada pasukan tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

“Kita perlu perbaiki cara kita bermain, dan tidak boleh terlalu bergantung harap kepada sesetengah individu... kita perlu bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

Pada perlawanan itu, Eskandar Ismail meletakkan PDRM di hadapan pada minit ke-49, sebelum bekas pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Khairul Amri Mohamad Kamal menyamakan kedudukan untuk Felda United menerusi sepakan penalti pada minit ke-71.

Felda United kini menduduki tangga kesembilan menerusi kutipan sembilan mata hasil satu kemenangan, tiga keputusan seri dan dua kekalahan, manakala PDRM defisit satu mata selepas enam perlawanan (dua keputusan seri dan empat kekalahan). - Bernama