Papan iklan perlu guna bahasa kebangsaan

Papan iklan yang menggunakan bahasa Cina telah diturunkan - Foto: Facebook DBKL. Ciapan di Twitter Annuar.
Papan iklan yang menggunakan bahasa Cina telah diturunkan - Foto: Facebook DBKL. Ciapan di Twitter Annuar.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Papan iklan yang menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama yang dipasang sekitar Mid Valley di sini didapati tidak mematuhi syarat seperti kelulusan yang dikeluarkan.

Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, pemohon lesen gagal mematuhi syarat ditetapkan apabila menggunakan bahasa Mandarin.

"Pada peringkat kelulusan oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), paparan iklan yang diluluskan dalam bahasa Melayu sebagai bahasa ungkapan utama dan diiringi dengan bahasa lain.

"Bagaimanapun apabila pemasangan paparan iklan di tapak, berlaku ketidakpatuhan kepada kelulusan yang diberikan iaitu bahasa iringan telah dijadikan ungkapan utama," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, menyedari kesilapan yang dilakukan pihak terlibat bertindak menurunkan paparan iklan tersebut.

Semalam, isu papan iklan yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama itu tular di media sosial selain dikongsi oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Twitternya.

Unit Media DBKL menjelaskan, terdapat enam jenis lesen iklan dikeluarkan oleh DBKL dan salah satu daripadanya ialah Lesen Iklan Paparan Luar.

"Lesen Iklan Paparan Luar ini tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976; Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (WPKL) 1982 dan Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihanraya) (WPKL) 1990.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang ketidakpatuhan kepada akta atau UUK ini boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan atau penalti yang termaktub di bawahnya," katanya.

Kenyataan itu juga memberitahu pihak yang ingin menaikkan paparan iklan perlu melalui DBP bagi mendapatkan pengesahan penggunaan bahasa Melayu dan bahasa lain dibenarkan mengiringi ungkapan utama.

Terdahulu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menerusi ciapan di Twitternya memaklumkan, papan iklan tersebut telah diturunkan selain mengingatkan pemegang permit untuk mematuhi syarat berkaitan penggunaan bahasa kebangsaan.

"Semua papan iklan di Wilayah Persekutuan mesti mendaulatkan bahasa kebangsaan.. Bahasa jiwa bangsa," ciapannya kira-kira 20 jam lalu serta gambar papan iklan yang dimaksudkan.

Dalam ciapan berasingan, beliau menjelaskan lebih lanjut berhubung perkara itu.

"Papan iklan mesti menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa utama. Bahasa lain boleh digunakan tetapi hendaklah lebih kecil dari tulisan bahasa kebangsaan.

"Tatabahasa perlu seperti diluluskan DBP, PBT (Pihak berkuasa tempatan) meluluskan permit tempat mengikut syarat-syarat tertentu," tulisnya menerusi ciapan di Twitternya 3 jam lalu.