Jangan tunduk pada tekanan politik: MB Kedah

Muhammad Sanusi ketika berucap pada program perhimpunan penjawat awam Persekutuan Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah hari ini.
Muhammad Sanusi ketika berucap pada program perhimpunan penjawat awam Persekutuan Negeri Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Penjawat awam di Kedah diingatkan tidak tunduk kepada tekanan politik dan berkhidmat secara profesional dan melaksanakan dasar kerajaan tanpa dibayangi fahaman politik.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, mereka juga perlu bijak menepis cubaan ahli politik untuk mempengaruhi keputusan selain bertindak berdasarkan etika dan integriti.

“Sebagai jentera kerajaan, penjawat awam sentiasa berada dalam pentadbiran untuk melaksanakan agenda pemerintahan negeri berbanding pemimpin politik yang datang dan pergi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan Negeri Kedah Bersama Menteri Besar Kedah di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bandar Mu’adzam Shah hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Datuk Syed Shaharuddin Syed Abdullah.

Muhammad Sanusi turut mengingatkan penjawat awam sebagai tunjang pentadbiran sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri dan perlu melaksanakan tugas dengan penuh integriti yang menjadi asas kepada tadbir urus yang baik.

Beliau turut menasihatkan penjawat awam mengamalkan budaya kerja normal baharu dalam tempoh pandemik koronavirus (Covid-19).

“Tahun 2020 penuh cabaran dan kita perlu sentiasa bersedia dengan segala ketidakpastian khususnya Covid-19 yang memberi kesan besar kepada aspek kesihatan, keselamatan sehingga menjejaskan sistem kehidupan masyarakat global," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, setiap penjawat awam perlu mengubah cara bekerja, berfikir, bertindak dan berinteraksi seiring situasi semasa.

“Cabaran utama ialah bertindak dengan bijak, menerokai idea kerja baharu bagi menghadapi persekitaran kerja yang kompleks dan sentiasa berubah. Kita perlu bersedia menerima hakikat kehidupan berubah kepada normal baharu walaupun selepas berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui program itu juga, penjawat awam diminta berpegang kepada prinsip menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dengan mengukuhkan sistem penyampaian dan mengaplikasikan teknologi terkini.

“Penggunaan teknologi dan dunia digital dapat mengimbangi tuntutan Revolusi Industri 4.0 supaya institusi perkhidmatan awam kekal relevan dan dinamik.

"Mereka digalakkan meneroka bidang teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet kebendaan dalam penyampaian perkhidmatan,” katanya.