UPKO pertaruh calon muda, wanita pada PRN Sabah

Rowindy Lawrence Odong, Juliana Jani
Rowindy Lawrence Odong, Juliana Jani
A
A
A

MEMBAKUT - Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dijangka mengetengahkan beberapa tokoh muda dan wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Wanita UPKO Pusat, Juliana Jani berkata, pihaknya sentiasa menyokong penuh jika lebih ramai calon muda dan wanita diberi peluang bertanding pada PRN kali ini.

“Sudah tiba masanya lebih ramai wakil wanita muda bersuara dalam Kabinet kerajaan khususnya Sabah bagi mengangkat masalah wanita dan keluarga selaras dengan manifesto Wanita UPKO iaitu Memperkasakan Institusi Mahkamah Anak Negeri melibatkan isu wanita dan keluarga," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Rowindy Lawrence Odong, 38, antara yang disebut bakal dicalonkan pucuk pimpinan parti bagi mewakili kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut.

Rowindy yang juga Presiden Persatuan Pembangunan Usahawan Wanita Luar Bandar Sabah (USHWANE) berkata, kesediaannya untuk bertanding di DUN Membakut kerana kawasan berkenaan masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding daerah berhampiran.

“Jika saya dipilih untuk menjadi calon dan menang dalam PRN kali ini, saya bersama pimpinan Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan (PH) akan memastian dan berusaha untuk membangunkan DUN Membakut dalam semua aspek.

“Namun siapa pun yang dipilih bagi mewakili DUN Membakut, saya berharap kawasan ini dapat diberi tumpuan kepada semua kawasan di daerah kecil Membakut,”katanya.

Terdahulu, UPKO turut dijangka akan mencalonkan beberapa tokoh muda dan wanita lain antaranya Nelson W Angang (DUN Kuala Penyu), Sualim Gopog (Paginatan), Felix Joseph Sitin (Telupid), Bensom Inggam (Kuamut), Datuk Wong Thien Fook (Inanam), Datuk Dr Laurentius Nayan Ambu (Tambunan), Mapaham Ruminzing (Bengkoka), Dr Peter Jr Naintin (Sungai Manila), Padis Majinkin (Tandek) dan Datuk Lucas Umbul (Kemabong).

Artikel Berkaitan: