X

Kindly register in order to view this article
!

'Orang Cina guna nama Melayu contoh perpaduan kukuh di Kelantan'

Ahmad (dua dari kanan), Dr Noor Azizi (empat dari kanan) dan Halimah melawat ke tapak pameran maklum balas yang diberikan oleh rakyat bagi membantu pembangunan PTPN 2021-2025.
A
A

KOTA BHARU - Nama Melayu seperti Ali, Mamat dan Rashid yang menjadi panggilan samaran dalam kalangan kaum Cina di Kelantan antara contoh perpaduan kukuh yang boleh dijadikan garis panduan oleh Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam membangunkan Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kerajaan mengambil kira pelbagai aspek dengan mengutamakan kehendak dan aspirasi rakyat dari seluruh lapisan bermula dari kepemimpinan politik sehingga ke golongan komuniti di akar umbi sebagai asas membentuk PTPN 2021-2025.

Menurutnya, setakat ini hampir 20,000 rakyat memberi maklum balas berhubung Draf PTPN 2021-2025 yang dijalankan bermula awal bulan lalu.

Responden yang hadir dalam kalangan pemimpin politik sehingga kelompok komuniti di akar umbi pada Majlis Pelancaran Maklum Balas Draf PTPN 2021-2025 yang berlangsung di UMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.
Responden yang hadir dalam kalangan pemimpin politik sehingga kelompok komuniti di akar umbi pada Majlis Pelancaran Maklum Balas Draf PTPN 2021-2025 yang berlangsung di UMK Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.

“Rakyat di Kelantan diminta menyertai maklum balas sesi ini yang turut dilancarkan ke semua negeri di seluruh negara tanpa meletakkan sasaran angka responden yang tertentu malah sangat baik jika lebih ramai turut mengambil bahagian sehingga ke peringkat daerah dan ke kampung.

“Kerajaan mahukan pandangan, teguran, nasihat dan inspirasi daripada rakyat bagi merealisasikan PTPN 2021-2025 dan meneruskan perpaduan yang baik dalam kalangan kaum di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas PTPN Peringkat Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini hari ini.

Majlis Pelancaran itu disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang turut menjadi saksi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara UMK oleh Naib Canselor UMK Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail dan KPN.

Halimah berkata, kesemua maklum balas dimasukkan dalam rangka pelan berteraskan prinsip Rukun Negara yang bakal dilancarkan pada penghujung tahun ini.

“Usaha mewujudkan perpaduan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan rakyat yang bersama-sama perlu memainkan peranan memastikan keharmonian antara bangsa dan agama terus terpelihara baik seperti keadaan ketika ini,” katanya.

Halimah (belakang, tiga dari kiri), Ahmad Yakob dan Dr Noor Azizi (kanan) bergambar bersama kanak-kanak yang mengibarkan Jalur Gemilang dan memakai baju tradisional mewakili kaum serta etnik yang ada di negara ini.
Halimah (belakang, tiga dari kiri), Ahmad Yakob dan Dr Noor Azizi (kanan) bergambar bersama kanak-kanak yang mengibarkan Jalur Gemilang dan memakai baju tradisional mewakili kaum serta etnik yang ada di negara ini.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, perpaduan antara kaum di Kelantan terbukti utuh dari peringkat bawahan contohnya melalui nama samaran Melayu yang digunakan oleh kaum Cina di negeri ini malahan bahasa pertuturan seharian atau dialek Kelantan juga adalah faktor penting penyatuan mereka.

“Walaupun nama Lau tapi dikenali sebagai Rashid, Mamat atau Ali dan sebagainya manakala percakapan mereka pula semuanya menggunakan bahasa Melayu dialek Kelantan.

“Ikatan sememangnya wujud di majlis keramaian, pasar, majlis rasmi dan sebagainya.

“Kami di pihak kerajaan negeri memberi kerjasama penuh kepada kementerian sebagai tanda penghargaan kerana memberi peluang rakyat di negeri ini memberi maklum balas terhadap draf pembangunan PTPN 2021-2025,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!