'Tak guna dapat air percuma jika air tiada'

isham 800x600
isham 800x600
A
A
A

SHAH ALAM - Program pemberian air percuma secara bersasar yang diberikan kerajaan Selangor kepada kira-kira 180,000 penduduk negeri itu dilihat tidak mencapai matlamatnya ekoran kekerapan masalah gangguan air atau bekalan air terputus yang tidak berkesudahan.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, di Selangor terdapat seramai lima juta penduduk, namun jika air terputus kesemua penduduk termasuk 180,000 yang mendapat air percuma itu pasti akan terkesan.

"Dalam kata mudah, apa guna kita mendapat air percuma jika air tiada.

"Saya melihat program pemberian air percuma bersasar itu hanya akan benar-benar bermanfaat atau memberi erti kepada penerimanya jika kerajaan negeri boleh menangani masalah terputus bekalan air yang kerap berlaku di Selangor ini," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Isham berkata, beliau melihat terdapat dua punca masalah air yang perlu diselesaikan oleh kerajaan Selangor iaitu berhubung penguatkuasaan undang-undang oleh kerajaan negeri yang mana ia perlu ditingkatkan berkenaan pencemaran sungai yang kerap berlaku oleh kilang-kilang haram atau premis-premis serta pihak-pihak ingkar yang lain.

Beliau berkata, peningkatan tahap kecekapan dan pengurusan bekalan air di Selangor juga perlu diberi perhatian.

Katanya, setiap kali ada pencemaran sungai oleh satu pihak seperti minggu ini, berjuta rakyat terputus bekalan air.

"Hanya kerana dua tiga orang yang mencemar sungai dengan dua tiga tong dram pencemaran, hampir satu Selangor tidak ada air dan ini tidak masuk akal, malah ia akan berlaku lagi.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya di negara maju dan di negeri lain, jika satu sumber air mentah tercemar, pembekal air akan ada sumber air mentah 'back up' atau air bersih dari loji 'back up' yang lain supaya bekalan air kepada pengguna tidak putus.

"Tetapi masalahnya di Selangor, ini tidak berlaku di mana kapasiti rizab loji pemprosesan air bersih adalah amat nipis berbanding di negeri lain," katanya.

Isham berkata, pengguna di Selangor menggunakan lebih kurang 4,900 juta meter padu air sehari, namun kapasiti pengeluaran air bersih oleh loji sedia ada hanyalah 5,000 juta meter padu sehari.

Katanya, disebabkan hal itu, setiap kali ada sedikit masalah pencemaran sungai ia akan mengakibatkan satu kawasan yang luas dan berjuta rakyat tidak ada air.

"Ini tidak boleh diterima. Kerajaan Selangor perlu menyelesaikan masalah ini terutama apabila rakyat Selangor adalah pembayar cukai negeri yang tertinggi berbanding negeri lain.

"Kerajaan Selangor ada 12 tahun sejak 2008 untuk menyelesaikan masalah ini tetapi apa yang berlaku ialah keadaan menjadi semakin buruk. Jika isu asas seperti air pun mereka tidak boleh urus, apakah yang terjadi kepada masalah lain yang lebih kompleks?" katanya.

Tegasnya, fokus kerajaan negeri sepatutnya adalah untuk menangani punca masalah terputusnya bekalan air secara mampan, bukannya berpolitik kononnya memberi air percuma tetapi air selalu tiada.

Katanya, rakyat tidak boleh tunggu 30 tahun untuk kerajaan selesaikan masalah air, lebih baik tukar kerajaan daripada tunggu 30 tahun untuk selesaikan masalah ini.

"Azam saya ialah jika BN diberi mandat di Selangor, kita akan selesaikan masalah air ini once and for all secepat mungkin. Bukan itu sahaja, azam saya ialah dalam tempoh lima tahun jika BN memerintah, air di Selangor akan betul-betul bersih sehingga boleh terus diminum dari paip," katanya.