Selesai dulu isu pemilikan tanah Kampong Bharu: MAS

Isu berhubung pemilikan tanah di Kampong Bharu perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh semua pihak sebelum sebarang perancangan untuk pembangunan dilakukan.
Isu berhubung pemilikan tanah di Kampong Bharu perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh semua pihak sebelum sebarang perancangan untuk pembangunan dilakukan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu berhubung pemilikan tanah di Kampong Bharu perlu diselesaikan terlebih dahulu oleh semua pihak sebelum sebarang perancangan untuk pembangunan dilakukan.

Setiausaha Lembaga Pentadbiran Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Samsuri Suradi berkata, sekiranya perkara itu dapat dilakukan maka perancangan kawasan yang hendak dibangunkan boleh dibuat.

Menurutnya, selain itu pelan pembangunan perlu dibentangkan dan bancian juga dilakukan untuk melihat peratusan penduduk bersetuju atau sebaliknya berhubung dengan perkara itu.

"Isu pokoknya adalah pemilikan, ia ibaratnya orang hendak jual tanah, adakah geran-geran itu semua sudah ada? Masalahnya tidak ada dan ini adalah isu pertama Kampong Bharu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kampong Bharu: Tiada belian RM1,000 bagi satu kaki persegi

Annuar perlu dedah data sebenar pemilik Kampong Bharu: AMK

"Jadi kalau kita bagi tempoh tiga tahun, perkara pertama adalah selesaikan isu pemilikan tanah, kedua baharulah kita rancang di mana (kawasan) yang hendak bangunkan, ketiga kita dapatkan pemaju-pemaju itu,” katanya sebagaimana dilaporkan sebuah portal berita astroawani.com di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Samsuri melahirkan keyakinan bahawa dengan niat yang baik dan sokongan daripada penduduk, perkara itu dapat berjalan lancar dan menjadi realiti.

Artikel Berkaitan:

"Kita kesian juga kerana ini adalah kawasan Melayu yang gagal dibangunkan disebabkan kita tidak melihat apa kesilapannya sejak mula hingga sekarang.

"Jadi kita tidak boleh salahkan satu pihak sahaja kerana kejayaan itu harus dirasai bersama penduduk, pemilik dan pihak-pihak yang berkepentingan dalam Kampong Bharu," katanya.

Sebelum ini Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa penawaran pampasan berjumlah RM1,000 sekaki persegi kepada pemilik tanah di Kampong Bharu tidak dapat diteruskan kerana hanya 61 peratus penduduk bersetuju berhubung perkara tersebut.

Malah, kaedah itu tidak dapat diteruskan kerana tiada sumber pembiayaan dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM7 bilion daripada Perbendaharaan bagi menampung jumlah bayaran berkenaan.

Pada masa sama, kementerian itu juga turut mengumumkan berhubung perangkaan pendekatan pembangunan baharu untuk tempoh 20 tahun akan datang sebagaimana yang ditetapkan dalam Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040.

Dalam pada itu, bekas Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman menegaskan bahawa Annuar perlu mendedahkan data sebenar pemilik yang menghantar maklum balas untuk mengelakkan sebarang keraguan dalam isu pembangunan.

Katanya, data terakhir PPKB sebelum kerajaan bertukar tangan pada Mac 2020 menunjukkan 31 peratus iaitu 1,571 daripada keseluruhan 5,359 pemilik berdaftar menghantar borang maklum balas kepada perbadanan itu dan daripada jumlah itu, seramai 1,499 pemilik telah bersetuju untuk membangunkan tanah mereka manakala 72 pemilik lagi tidak bersetuju.

"Jadi apabila Annuar mula memberi respons bahawa 60 peratus tidak bersetuju dengan projek pembangunan tanah di Kampong Bharu maka apa yang disebut itu telah menimbulkan beberapa keraguan.

“Pertamanya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau gagal membentangkan sebarang pelan untuk Kampong Bharu menunjukkan beliau tidak berminat untuk membangunkannya.

"Kedua, beliau gagal untuk meneruskan pelan sedia ada yang telah disediakan oleh kerajaan terdahulu untuk membangunkan Kampong Bharu, sebaliknya memberi alasan seolah-olah pelan yang terdahulu itu tidak boleh dicapai kerana penduduk yang menolaknya," katanya.

Terdahulu, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menerusi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini, Khalid Samad dilaporkan mahu membangunkan semula Kampong Bharu membabitkan pengambilan tanah dari lebih 5,300 pemilik dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi iaitu RM850 tunai dan RM150 saham syarikat bertujuan khas (SPV).