Wanita Rohingya ketua Geng Jahan diberkas polis

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Polis memberkas seorang wanita etnik Rohingya yang juga merupakan ketua kumpulan penjenayah 'Geng Jahan' dalam satu serbuan di sebuah rumah inap di Morib, Kuala Langat awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, wanita berumur 30 tahun itu yang diburu sejak seminggu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah inap di Jalan Sri Bayu, Pantai Morib kira-kira jam 2.30 pagi.

"Serbuan dijalankan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dengan dibantu oleh anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

"Susulan serbuan berkenaan, anggota polis telah dibawa ke sebuah rumah di Taman Ria, Jenjarom, Kuala Langat dan menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun kerana dipercayai telah memajak sejumlah barangan kemas yang dipercayai dicuri oleh geng ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nurulhuda berkata dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira, surat pajak gadai, telefon bimbit, dan sejumlah mata wang asing.

"Wanita Rohingya ini kini direman sehingga Selasa manakala lelaki warga tempatan berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan kita (polis) sedang giat memburu saki-baki anggota kumpulan penjenayah ini," katanya.

Pada Rabu lepas, Bernama melaporkan polis sedang memburu seorang wanita etnik Rohingya bersama tiga pengikutnya yang aktif melakukan kegiatan samun dan pecah rumah di sekitar Klang, Kuala Selangor serta Kuala Langat sejak Februari lepas.

Wanita yang dikenali dengan nama Norjahan itu dikehendaki selepas enam konconya terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita etnik Rohingya ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar daerah itu dan Kuala Langat sejak 28 Ogos lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: