Kesalahan berulang isyarat jelas undang-undang perlu dipinda - Zahid

Pencemaran sungai ditafsir sebagai sabotaj bekalan air negara dan menjejaskan keperluan asas rakyat.
Pencemaran sungai ditafsir sebagai sabotaj bekalan air negara dan menjejaskan keperluan asas rakyat.
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO mendesak kerajaan menggubal undang-undang baharu atau meminda Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 bagi menangani isu pencemaran sungai.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesalahan berulang yang dilakukan pihak bertanggungjawab menyebabkan sumber bekalan air tercemar tidak boleh diterima sama sekali.

Menurutnya, kejadian berkenaan ialah satu sabotaj bekalan air negara dan jelas memberikan mesej kepada kerajaan negeri Selangor khususnya dan kerajaan Persekutuan bahawa undang-undang sedia ada tidak memadai.

"Pindaan akta atau undang-undang baharu perlu merangkumi denda dan kompaun yang lebih tinggi iaitu 10 kali ganda daripada kos pembersihan pencemaran air sungai tercemar.

Orang ramai sedang mengambil bekalan air bersih.
Orang ramai sedang mengambil bekalan air bersih.

"Pemilik premis atau syarikat termasuk Lembaga Pengarah dan Pengurusan syarikat dikenakan hukuman penjara mandatori dan sebatan kerana sabotaj bekalan air negara.

"Selain itu lesen perniagaan syarikat berkaitan dibatalkan dan pemilik premis atau pemilik syarikat perniagaan termasuk lembaga pengarah dan pengurusan syarikat disenarai hitam daripada menjalankan sebarang aktiviti perniagaan bagi tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu air: KPKT kaji kelompongan undang-undang

Tambah beliau, penahanan dan pendakwaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa di bawah Seksyen 430 Akta Kanun Keseksaan melibatkan pemilik premis yang disyaki melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah sesuatu yang wajar.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, UMNO juga menggesa pihak berkuasa mendakwa pemilik premis atau syarikat serta lembaga pengarah dan pengurusan tersebut di bawah Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 yang didapati bersalah mencemarkan sistem bekalan air dikenakan hukuman mati atau penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

"Pemilik premis atau syarikat serta Lembaga Pengarah dan Pengurusan syarikat berkenaan juga perlu disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan tindakan tegas perlu diambil kerana mensabotaj serta mencemarkan Sungai di Selangor," katanya.