Isu air: KPKT kaji kelompongan undang-undang

Zuraida beramah mesra dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor (kanan) ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Menteri Besar Kedah di Wisma Darulaman hari ini. - Foto Bernama
Zuraida beramah mesra dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor (kanan) ketika mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Menteri Besar Kedah di Wisma Darulaman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kelompongan undang-undang di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dikaji semula bagi membolehkan kerajaan tempatan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pihak penyebab pencemaran alam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, isu pencemaran alam di bawah bidang kuasa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), manakala KPKT hanya berkaitan lesen serta kutipan cukai ke atas pengilang.

"Mengenai pencemaran alam, KASA yang memiliki kuasa untuk ambil tindakan, manakala bidang kita (KPKT) adalah keluarkan lesen jika mereka ikut syarat dan membayar lesen, cukai serta sebagainya.

"Bagaimanapun, kita maklum ada kelompongan dari segi undang-undang untuk kerajaan tempatan mengambil tindakan kepada pengilang," katanya pada sidang akhbar selepas kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mencadangkan agar satu usul menggubal undang-undang lebih tegas dapat diambil terhadap pengilang mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Berhubung kes pencemaran di Selangor Zuraida berkata, isu sedemikian harus diketengahkan susulan masalah pencemaran sungai dari kilang-kilang di Selangor kerap terjadi sehingga menyusahkan rakyat.

"Jadi, kita harap kerajaan Selangor ambil serius perkara ini memandangkan masalah air di negeri berkenaan seperti satu pesta menyukarkan rakyat. Ia memerlukan penyelesaian holistik bagi semua peringkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan boleh diambil KPKT susulan pencemaran alam hingga menyebabkan masalah air di Selangor.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, sehingga kini, sebanyak 5,000 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) terkesan akibat masalah air di Selangor.

Zuraida berkata, dua rumah PPR di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terkesan akibat isu air itu adalah PPR Lembah Subang I dan PPR Lembah Subang II.

Sebanyak 1, 292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di Sungai Selangor.

Antara tujuh wilayah terkesan adalah, Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat sejak Khamis lepas.