WTP tetap dibayar walaupun Petronas rugi: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (kiri) dan Ahmad Samsuri pada sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.
Tengku Zafrul (kiri) dan Ahmad Samsuri pada sidang media di Wisma Darul Iman hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Kewangan memberikan jaminan Wang Tunai Petroleum (WTP) akan tetap dibayar kepada kerajaan Terengganu mengikut jadual yang ditetapkan seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pembayaran yang akan dibuat masih dalam perbincangan.

"Jumlah itu masih lagi dalam perbincangan. Insya-ALLAH, kita positif dan optimis pada bulan September ini.

"Pembayaran akan sentiasa dibuat, berapa banyak (jumlah) kena kira dulu," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Terengganu sempena program Jelajah Konsultasi Belanjawan 2021 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Sepanjang tahun lalu, kerajaan Terengganu menerima RM1.277 bilion WTP daripada kerajaan Persekutuan yang dibayar secara berperingkat bermula Januari hingga September.

Bayaran WTP lazimnya akan dibuat sebanyak dua kali setahun iaitu pada Mac dan September.

Bagaimanapun pada Jumaat lalu, Petronas mengumumkan kerugian RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 berbanding keuntungan RM14.7 bilion dalam tempoh sama pada 2019.

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

Kerugian dicatatkan itu berikutan pendapatan yang rendah dan kerugian rosot nilai bersih terhadap aset yang ketara berikutan semakan menurun tinjauan harga minyak yang terjejas oleh permintaan lemah susulan penularan koronavirus (Covid-19) dan keadaan lebihan bekalan dalam pasaran.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan rasminya ke Terengganu, beliau berkata, pihak kementerian ingin mendapatkan maklum balas kerajaan negeri melalui bantuan yang telah disalurkan dan cadangan untuk menambah baik Belanjawan 2021.

"Antara fokus utama kami adalah untuk berjumpa dengan wakil persatuan dan pengusaha industri pelancongan yang terkesan akibat Covid-19 dan wakil-wakil industri minyak, gas dan petrokimia.

"Kita akan berjumpa dengan mereka memandangkan sektor ini merupakan tulang ekonomi negara terutamanya bagi Terengganu," katanya.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, hampir RM767 juta disalurkan kepada rakyat Terengganu menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) manakala bagi sektor perniagaan di negeri, dana sebanyak RM257 juta untuk perniagaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Selain itu, bagi memperkukuhkan ekonomi, kerajaan Pusat telah menyalurkan bantuan bernilai RM3.8 juta melalui projek-projek kecil untuk rakyat negeri ini.