PJ City FC sukar ditembusi: Kipre

Tchetche Kipre
Tchetche Kipre
A
A
A

PENYERANG Kedah, Tchetche Kipre mengakui tidak mudah mengatasi PJ City FC selepas kelab itu memberikan kesukaran kepada tuan rumah sebelum menang tipis 2-1 di Stadium Darul Aman, semalam.

Kipre yang turut menjaringkan gol kemenangan pasukannya berkata, pertahanan pelawat mampu bertahan dengan baik selain menyukarkan beberapa peluang Lang Merah untuk menembusi benteng pertahanan lawan.

"Pertahanan mereka cepat turun untuk menutup ruang dan sukar buat saya dan Kpah Sherman sebagai penyerang mencari gol buat Kedah. Jelas mereka berjaya menyukarkan kami memburu gol," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman semalam.

Menurutnya, beliau gembira dengan kemenangan tersebut dalam memastikan Lang Merah terus mendaki tangga Liga Super 2020 untuk berada di tangga ketiga dengan 10 mata selepas enam perlawanan.

"Saya perlu memberikan penghargaan kepada Kpah kerana gol penyamaan 1-1 berjaya membangkitkan motivasi pasukan untuk kembali memberikan saingan selepas ketinggalan kepada lawan.

"Gol kemenangan berjaya disudahkan oleh saya selepas saya berada pada tempat yang betul untuk meletakkan bola ke dalam gawang lawan dan Kedah memenangi perlawanan ini," katanya lagi.

Penyerang berusia 32 tahun itu berkata, cabaran besar semua pemain Kedah adalah untuk mendapatkan kembali rentak beraksi bersama selepas lebih lima bulan Liga Malaysia berhenti disebabkan oleh pandemik koronavirus (Covid-19).

"Saya sangat gembira kerana kami sudah boleh turun beraksi namun semua pemain masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri selepas lama tidak beraksi. Tiga aksi persahabatan dan satu aksi sebenar Liga Super sebelum ini belum cukup namun kami sedang berusaha menyesuaikan diri dari satu aksi kepada satu aksi lain selepas ini," katanya.

Artikel Berkaitan: