KPKT rancang bina dua PPR baharu di Kedah

Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Zuraida pada kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Zuraida pada kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang membina dua Projek Perumahan Rakyat (PPR) baharu di Kedah melibatkan kos sebanyak RM128 juta.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, cadangan pembinaan PPR Jitra dan PPR Kodiang di Kubang Pasu ini di bawah Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12).

Beliau berkata, cadangan pembinaan dua PPR baharu ini akan dibentangkan di Parlimen pada Januari 2021.

"Untuk PPR Jitra, kita bercadang membina 159 unit rumah pangsa manakala kira-kira 500 unit rumah teres pula dirancang dibangunkan untuk PPR Kodiang.

"Kedua-dua projek berkenaan dijangkakan membabitkan kos pembinaan sekitar RM128 juta," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, KPKT turut bercadang membina pembangunan fasiliti waste to energy (WTE) meliputi beberapa kemudahan seperti loji dan lain-lain fasiliti yang boleh menjana tenaga daripada sisa buangan di Jabi dan Semeling.

Menurutnya, tapak pelupusan sampah di Jabi dan Semeling dicadangkan dinaiktaraf kepada WTE dalam tempoh terdekat memandangkan kawasan itu kini agak kritikal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pembinaan WTE itu dianggarkan mengambil tempoh selama dua tahun sekaligus mampu menyelesaikan masalah pelupusan sampah di negeri ini.

"Doharap isu-isu pentadbiran dapat segera dipercepat dan diperkemaskan supaya kita dapat membina WTE di Kedah," katanya.

Zuraida berkata, KPKT turut bercadang membina Waste Park ialah pembangunan fasiliti setempat untuk tujuan kitar semula secara holistik di Kulim.

"Dengan adanya Waste Park, kita harapkan kilang-kilang melibatkan plastik, besi dan lain-lain ditempatkan di situ bagi memastikan tiada kilang haram di negeri ini," katanya.

Katanya, pihaknya juga merancang untuk membangunkan semula projek rumah kos rendah di negeri ini yang didapati usang dan tidak ekonomikal bagi memberi keselesaan kepada penduduk.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, beliau menyambut baik beberapa pengumuman dan komitmen pihak kerajaan dalam membantu rakyat di negeri ini.