Pemergian Mohd Fahami kehilangan besar buat Johor

Ibu Allahyarham Mohd Fahami memberi penghormatan akhir di pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, Johor Bahru hari ini.
Ibu Allahyarham Mohd Fahami memberi penghormatan akhir di pusara anaknya di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvantri menyifatkan pemergian Kadi Johor Bahru, Allahyarham Mohd Fahami Abd Samad, 45, sebagai satu kehilangan besar terutama bagi umat Islam di negeri ini.

Menurutnya, Allahyarham Mohd Fahami banyak menyumbang jasa terutama dalam bidang dakwah sejak berkhidmat dengan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) kira-kira 15 tahun lalu.

"Beliau terkenal sebagai seorang yang sangat dedikasi, amanah dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas terutama sebagai pendakwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kadi daerah Johor Bahru maut semasa menyelam

"Banyak pengorbanan beliau kepada masyarakat malah sejak menjadi Kadi Daerah Kulai lagi. Kehilangan beliau amat memberi kesan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin di sini hari ini.

Fauzi Noraini dan anak-anaknya tidak dapat menahan sedih semasa mengaminkan doa untuk Allahyarham Mohd Fahami di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, Johor Bahru hari ini.
Fauzi Noraini dan anak-anaknya tidak dapat menahan sedih semasa mengaminkan doa untuk Allahyarham Mohd Fahami di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, Johor Bahru hari ini.

Jenazah Mohd Fahami selamat disemadikan di tanah perkuburan itu yang dihadiri lebih 200 ahli keluarga, saudara-mara, rakan dan orang kenamaan.

Antara yang hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Penasihat Majlis Agama Islan Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham meninggalkan isteri, Fauzi Norani Madzlan, 42, dan empat anak berusia 18, 16, 10 dan tiga tahun.

Mohd Fahami meninggal dunia dipercayai akibat lemas semasa melakukan aktiviti selam skuba di perairan Kampung Air Batang, Pulau Tioman, Rompin semalam.

Sementara itu, Yahya berkata, Allahyarham Mohd Fahami banyak menyelesaikan masalah umat Islam selain antara yang paling kuat mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, beliau juga guru dan pembimbing haji yang sangat disukai kerana caranya memberi penerangan serta mengendalikan jemaah haji selain memberi banyak sumbangan terhadap program-program JAIJ.

Anak Allahyarham Mohd Fahami memberi penghormatan akhir di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, Johor Bahru hari ini.
Anak Allahyarham Mohd Fahami memberi penghormatan akhir di pusara bapanya di Tanah Perkuburan Islam Mount Austin, Johor Bahru hari ini.