Johor mahu terus pikat pelancong Jepun

Cai Tung (kiri) melihat antara pelajar Jepun dan pelajar SMK Tun Syed Nasir Ismail bermain permainan tradisional.
Cai Tung (kiri) melihat antara pelajar Jepun dan pelajar SMK Tun Syed Nasir Ismail bermain permainan tradisional.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri giat mempromosi serta menonjolkan industri pelancongan di Johor untuk menarik kedatangan pelancong dari pelbagai negara termasuk Jepun.

Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan negeri, Liow Cai Tung berkata, ini berikutan, negeri ini telah menjadi pilihan kepada pelancong dari negara matahari terbit itu untuk dikunjungi.

Menurutnya, hubungan antara Jepun dan Malaysia juga sangat baik sepanjang tahun ini.

"Johor juga menerima jumlah kedatangan pelancong dari Jepun dalam tempoh dua tahun yang lalu amat memberangsangkan.

"Pada tahun lalu, Johor mencatatkan seramai 124,636 pelancong dari Jepun, sedikit peningkatan daripada 124,209 yang dicatatkan pada dua tahun sebelum ini.

"Pelancong Jepun datang ke Malaysia dan Johor untuk bermain golf terutamanya pada bulan-bulan yang bercuaca lebih sejuk di negara mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Program Pembangunan Lestari bersama pelajar Jepun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Syed Nasir Ismail, di sini, hari ini.

Program itu melibatkan kira-kira 220 pelajar dari Fukuoka Shingu High School, Jepun untuk berkongsi pengalaman unik ini sekaligus mempelajari lebih lanjut mengenai budaya dan cara hidup di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, Cai Tung berharap pada tahun ini, jumlah kedatangan pelancong Jepun ke Johor akan terus meningkat.

"Johor memiliki pelbagai destinasi pelancongan dan salah satu lokasi yang terkenal di kalangan pelancong Jepun adalah Ladang UK Farm di Kluang dan kebiasaannya mereka akan bermalam di rumah inap di Ayer Hitam dan saya nampak telah potensinya di situ," katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang program tersebut, beliau amat mengalu-alukannya sebagai salah satu strategi untuk meningkatkan jumlah pelancong Jepun ke negeri ini.

"Program seperti ini sangat bermanfaat. Saya juga fikir lawatan pelajar Jepun ini ke Johor agak tepat pada masanya, kerana Tahun Baru Cina bakal disambut tidak lama lagi.

"Saya mencadangkan agar pihak penganjur boleh mengambil peluang ini untuk membawa pelajar Jepun mengunjungi bazar Tahun Baru Cina di Johor Bahru untuk mengalami suasana yang meriah dan bagaimana perayaan itu disambut di sini.

"Ia secara tidak langsung dapat membantu kita mempromosikan Johor dan selepas ini pelajar Jepun akan kembali lagi ke negeri ini bersama rakan-rakan atau keluarga mereka pula," katanya.