Tingkat program kesedaran denggi di kawasan Indera Mahkota

Saifuddin bersama wakil agensi dan sukarelawan yang mengambil bahagian pada program gotong-royong bersama penduduk Sungai Karang Pantai di sini, semalam.
Saifuddin bersama wakil agensi dan sukarelawan yang mengambil bahagian pada program gotong-royong bersama penduduk Sungai Karang Pantai di sini, semalam.
A
A
A

KUANTAN - Program kesedaran memerangi denggi di kawasan parlimen Indera Mahkota perlu ditingkatkan ekoran situasi kes yang semakin membimbangkan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, beberapa kawasan dalam parlimen itu diisytiharkan sebagai lokasi wabak denggi dengan Kampung Sungai Karang Pantai merupakan lokasi tertinggi kes denggi di Indera Mahkota dan kedua tertinggi bagi seluruh Kuantan.

Menurutnya, berdasarkan data Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan, Kampung Sungai Karang Pantai merekodkan enam kes, diikuti Taman Cenderawasih Indah (5), Taman Fairmont (4) dan masing-masing tiga kes di Taman Air Putih Perdana dan Taman Aman Bukit Sekilau di sini.

"Mengambil kira kebimbangan ini, satu program khas akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi memerangi wabak denggi di kawasan 'hotspot' yang dikenalpasti.

"Kita akan gerakkan semua pihak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Skuad Sukarelawan Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) melalui aktiviti gotong-royong dan kempen rumah ke rumah bagi meningkatkan kesedaran penduduk dalam isu ini," katanya.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia hadir pada program gotong-royong cegah denggi bersama penduduk Kampung Sungai Karang Pantai di sini, semalam.

Beliau berkata, program itu akan disegerakan dalam tempoh seminggu ini melibatkan kawasan 'hotspot' yang akan dikenalpasti JKNP.

Katanya, beliau berpuas hati dengan peranan dimainkan agensi terlibat yang sentiasa turun padang melakukan gotong-royong dalam memerangi wabak denggi di daerah Kuantan.

Artikel Berkaitan:

"Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dan bomba banyak membantu dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan namun pelaksanaan program yang melibatkan penyertaan mereka secara one-off.

"Usaha memerangi denggi ini sebenarnya memerlukan kerjasama semua pihak terutama masyarakat setempat itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, selain penularan pandemik koronavirus(Covid-19), wabak denggi juga perlu diberi perhatian serius kerana ia juga boleh membawa maut.

"Sebagai ahli parlimen, saya akan menyediakan peruntukan sewajarnya bagi melaksanakan gotong-royong dan kempen kesedaran namun paling penting masyarakat juga perlu sama-sama mengambil bahagian bukan bergantung kepada agensi kerajaan semata-mata," katanya.