ADUN gesa pengurusan agihan air lebih sistematik

ADUN Sentosa, G Gunaraj membantu mengagihkan air kepada penduduk.
ADUN Sentosa, G Gunaraj membantu mengagihkan air kepada penduduk.
A
A
A

KLANG - Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) perlu menambah baik sokongan lori tangki air dan pengurusan masa agihan air yang lebih sistematik setiap kali berlakunya gangguan bekalan air.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, G Gunaraj menzahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku pada Jumaat apabila berlaku kelonggaran pengurusan bencana daripada Air Selangor sehingga bantuan disalur dalam keadaan 'serba kekurangan' membabitkan enam Pusat Dialisis dan lima hospital serta lebih 150,000 penduduk DUN Sentosa.

"Ini tidak termasuk DUN Sungai Kandis yang juga tersenarai di bawah Pengelolaan Pusat Khidmat Air Selangor di Taman Rakyat Andalas, Klang.

"DUN Sentosa telah berkongsi Pusat Khidmat Setempat Bersama DUN Sungai Kandis yang beroperasi di Taman Rakyat Klang dikawal selia oleh Air Selangor yang hanya menyediakan dua lori tangki air sahaja pada sebelah siang dan hanya ada penambahan satu lori tangki air pada sebelah malam.

"Lori tangki air jumbo mengambil masa antara dua hingga tiga jam untuk mengisi semula air daripada tempat simpanan air dan pihak Air Selangor juga tidak dapat memberi satu garis masa bila penyediaan air dapat diberikan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor wajar bekerjasama dengan operator lori tangki air swasta dengan lebih erat agar bekalan air dapat disegerakan kepada penduduk.

"Dalam situasi yang berlaku di luar jangka ini yang telah memberi kesan kepada hampir semua penduduk di Selangor, pihak pengurusan Air Selangor wajar menambah baik daripada sudut sokongan lori tangki air yang lebih dan pengurusan masa agihan air yang lebih sistematik.

"Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa juga telah menggerakkan Skuad Khas DUN Sentosa untuk mengagihkan bekalan air ke kawasan kawasan yang terputus bekalan air menggunakan sebuah lori kecil dan kenderaan 4x4," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya berharap insiden seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Saya berharap pengurusan bencana daripada pihak Air Selangor dapat ditambah baik nanti. Terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan barisan Exco kerajaan negeri serta semua pihak yang terlibat bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin demi kesejahteraan rakyat Selangor," katanya.

Terdahulu, sebanyak 1,292 lokasi di tujuh kawasan sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi Khamis lalu susulan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air itu berlaku selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihenti bertugas akibat pencemaran.

Tujuh kawasan berkenaan ialah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sementara itu, Air Selangor menerusi kenyataan memaklumkan pengguna di 417 kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air sejak pagi Khamis lalu sudah menerima bekalan air sepenuhnya setakat jam 6.30 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri berkata, 875 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

Menurutnya, secara keseluruhan, 32.28 peratus daripada 1,292 kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual telah pulih sepenuhnya.

"Daerah Kuala Selangor mencapai tahap pemulihan bekalan sebanyak 91.7 peratus; Hulu Selangor (94.12 peratus); Petaling (37.17 peratus);Gombak (11.31 peratus) dan Klang/Shah Alam (7.91 peratus). Bekalan air di Kuala Lumpur dan daerah Kuala Langat masih belum pulih.

"Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.