X

Kindly register in order to view this article
!

Dua maut dalam nahas empat motosikal

Dua penunggang maut, dua parah dan seorang cedera ringan selepas terbabit nahas melibatkan empat motosikal di Kilometer 4, Jalan Felda Chini, malam tadi.
A
A

PEKAN - Dua penunggang maut, dua parah dan seorang cedera ringan selepas terbabit nahas melibatkan empat motosikal di Kilometer 4, Jalan Felda Chini di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 10.15 malam itu, Muhammad Firdaus Mohd Yusof, 18 dari Felda Chini 5 dan kontraktor, Zakwan Muhammad, 24 dari Felda Chini Timur 1, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi penunggang, Muhammad Mahfuz Mazlan, 16, cedera parah di kepala manakala Muhammad Hakimi Hashim, 16, hanya cedera ringan.

Sementara itu, pembonceng motosikal ditunggang Zakwan, Saiful Shafinaz Mohamad, 30, turut parah apabila patah kaki dan tangan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika tiga penunggang, Muhammad Firdaus dan dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini 2, Muhammad Mahfuz serta Muhammad Hakimi dalam perjalanan dari arah Felda Chini Timur menghala ke Felda Chini.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian, Muhammad Firdaus yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda bertembung dengan motosikal ditunggang Zakwan.

"Kejadian dipercayai berlaku ekoran tindakan Muhammad Firdaus memasuki lorong bertentangan ketika cuba memotong motosikal ditunggang Muhammad Mahfuz di hadapannya.

"Akibat kejadian, kedua-dua penunggang itu mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Mohd Razli berkata, dua lagi penunggang cedera apabila turut terjatuh dalam kejadian itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat manakala dua mangsa yang parah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

"Kemalangan maut meragut nyawa dua penunggang ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!