Isu gangguan bekalan air: Tubuh Agensi Kawal Selia Sungai Negara

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menubuhkan sebuah Agensi Kawal Selia Sungai Negara berkuat kuasa serta-merta bagi menangani masalah gangguan air tidak berjadual yang semakin kerap berlaku di Lembah Klang disebabkan pencemaran.

Bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, agensi ditubuhkan itu perlu membina sebuah zon penampan berjarak 300 hingga 400 meter dari kawasan sungai dengan memastikan segala aktiviti perniagaan di kawasan itu tidak dibenarkan berlaku.

Menurutnya, polis dan badan penguatkuasaan undang-undang lain juga boleh digembleng tenaga bagi memantau kawasan zon penampan berkenaan, ditambah bantuan kamera litar tertutup (CCTV) atau teknologi lain bersesuaian.

"Kerajaan juga mesti menggubal undang-undang yang akan memberi hukuman sangat berat kepada syarikat-syarikat yang melanggar zon penampan berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan air di 417 kawasan pulih sepenuhnya

Pemulihan bekalan air secara berperingkat

"Dengan melakukan cadangan itu, kerajaan negeri boleh melindungi sungai-sungai daripada diceroboh syarikat-syarikat tidak bertanggungjawab dan sekali gus menyebabkan pelbagai bentuk pencemaran seperti plastik, sampah elektronik, bahan kimia, toksik dan kumbahan.

"Paling penting, proses itu memastikan kerajaan jimat berbilion ringgit," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Artikel Berkaitan:

Charles yang juga Ahli Parlimen Klang turut menggesa semua pihak mengiktiraf kawasan sungai dan zon penampan sungai sebagai zon keselamatan negara.

"Sudah tiba masanya kita perlu berfikir dan bertindak dari sudut berbeza. Kerajaan perlu melakukannya sekarang," katanya.

Terdahulu, polis menahan empat lelaki pemilik kilang berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun dalam operasi bermula kira-kira 11 malam sehingga 12.30 tengah malam kelmarin.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dilaporkan berkata, tangkapan dibuat di kediaman mereka dan ada yang ditahan selepas tampil di IPD Gombak.

Sebelum itu, media melaporkan kilang selenggara mesin dan jentera di Rawang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Selangor sudah ditutup dan disita.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pelbagai pihak kini berusaha menghilangkan kesan pencemaran dalam sumber air itu.

Kilang berkenaan diarah ditutup sementara sebelum diputuskan untuk dirobohkan kerana tidak memiliki Kebenaran Merancang (KM), selain pemantauan rapi dilakukan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) bersama agensi berkaitan.

Tujuh wilayah di Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas sejak Khamis lalu.

Gangguan membabitkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.