X

Kindly register in order to view this article
!

Isu luar padang tidak gugat fokus Lang Merah

K Devan, Aidil Sharin Sahak
A
A

ISU luar padang seperti masalah gaji dilihat tidak memberikan kesan kepada pemain-pemain Lang Merah untuk mempamerkan aksi baik membenam PJ City FC 2-1 pada aksi keenam Liga Super 2020 di Stadium Darul Aman, semalam.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak berkata, keprihatinan pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) berjaya meningkatkan motivasi anak-anak buahnya untuk mengekang asakan lawan yang bermula agresif sejak awal perlawanan.

Menurutnya, pasukannya yang kini berada di tangga ketiga liga semakin tenang dan beberapa pemain yang jarang diturunkan seperti Muhamad Norfiqrie Abd Talib dan Faizat Ghazli juga mula menunjukkan kematangan dan kefahaman bersama pasukan.

"Saya perlu memberikan kredit kepada Bendahari KFA, Mohd Noor Mohd Amin yang datang ke bilik persalinan pemain untuk memberikan kata-kata semangat kepada kami.

"Tidak perlu saya perkatakan apa yang diucapkan oleh beliau kepada pemain tetapi apa yang dilakukan ini sebenarnya dimahukan oleh kami daripada pihak pengurusan. Kami harap perkara seperti ini akan bertambah lebih baik dari masa ke masa," katanya dalam sidang akhbar di Stadium Darul Aman.

Aidil Sharin berkata, menghadapi kelab kental seperti PJ City FC memberikan cabaran yang besar kepada pasukannya terutama ketinggalan 0-1 kepada lawan seawal minit ke-15.

Namun beliau memberikan kredit kepada semua pemainnya yang kembali mengatur perlawanan dengan baik sebelum memenangi perlawanan tersebut hasil jaringan dua ayam tambatan mereka iaitu Kpah Sherman pada minit ke-24 dan Tchetche Kipre pada minit ke-67.

Sementara itu, Ketua Jurulatih PJ City FC, K Devan mengakui kecewa dengan keputusan tersebut kerana kelab tersebut hadir dengan sasaran untuk mengutip mata di Alor Setar.

Menurut beliau, persiapan telah dilakukan dengan baik olehnya untuk bertemu Lang Merah namun terpaksa melakukan rombakan dengan tiga pemain baru disebabkan oleh masalah kecederaan.

"Pada aksi ini PJ City FC berjaya memberikan saingan kepada Kedah terutama pada separuh masa pertama. Sedikit kesilapan oleh pemain saya pada separuh masa kedua yang telah memberikan gol kedua pasukan tuan rumah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!