Covid-19: Malaysia mungkin negara terawal bangkit semula

Malaysia berpotensi menjadi antara negara terawal yang bangkit dengan kadar pertumbuhan lebih baik selepas krisis pandemik Covid-19. Foto: 123RF
Malaysia berpotensi menjadi antara negara terawal yang bangkit dengan kadar pertumbuhan lebih baik selepas krisis pandemik Covid-19. Foto: 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Malaysia berpotensi menjadi antara negara terawal yang bangkit dengan kadar pertumbuhan lebih baik selepas krisis pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tahun ini, ekonomi negara dilihat menguncup sebanyak 17.1 peratus seperti diumumkan baru-baru ini, bagaimanapun dilihat daripada aspek bulan, trend ekonomi Malaysia adalah positif ke arah landasan lebih baik.

"Maka, saya kira dengan suntikan Pakej Rangsangan Ekonomi dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) khususnya, dapat menangani kesan negatif Covid-19.

"Kini, kebanyakan sektor kembali beroperasi dan lebih 15 juta sudah bekerja dengan kadar pengangguran mula berkurangan disebabkan sektor-sektor telah beroperasi," katanya selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Azmin menambah, Malaysia dilihat berada di landasan betul dan disebabkan itu unjuran menyatakan negara boleh jadi negara terawal bangkit semula dengan pertumbuhan lebih baik antara 6.3 peratus hingga 7.5 peratus.

"Walau bagaimanapun, saya tegaskan ia dapat dicapai sekiranya kita mencerdaskan ekonomi dari sekarang, jangan takut-takutkan orang sebaliknya kita mahu rakyat berbelanja supaya ekonomi terus berkembang," ujar beliau lagi.

Dalam perkembangan sama katanya, pihaknya membawa barisan pimpinan dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan lain-lain untuk bertemu pemegang saham, persatuan pengilang, industri dan sebagainya untuk mendengar keperluan tambahan diperlukan daripada kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Hal ini, memandangkan kita mahu kecerdasan ekonomi benar-benar dapat diuruskan segera untuk mencapai pertumbuhan positif pada 2021," katanya.