Azmin ulang pendirian tidak harap jawatan dalam Bersatu

Azmin (tiga dari kiri) ketika melakukan gimik perasmian Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi.
Azmin (tiga dari kiri) ketika melakukan gimik perasmian Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak mengharapkan sebarang jawatan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) tersebut berkata, ini kerana kedudukan dalam Bersatu bukan menjadi keutamaan kepada beliau berbanding usaha memantapkan parti.

"Bagi saya, bukan soal kedudukan. Sudah lama saya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu semenjak beliau dalam kepimpinan UMNO, saya antara penyokong kuatnya.

"Sekarang tugas saya bersama Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan rakan-rakan lain adalah memperkukuh Perikatan Nasional dan Bersatu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Penggerak Komuniti Negeri Kedah di Dewan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS), di sini, malam tadi yang turut dihadiri, Zuraida.

Azmin mengulas mengenai peluang kedudukannya dalam Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu selepas menyertai parti itu dua minggu lalu.

Beliau menegaskan bahawa tidak memerlukan apa-apa jawatan sebaliknya hanya berkhidmat untuk parti dan kerajaan.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Azmin berkata, kerajaan sekarang ini telah berjaya menguruskan pelbagai krisis besar walaupun baru hanya sekitar tujuh bulan di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Justeru ujarnya, pihaknya yakin mampu mengekalkan negara sebagai destinasi pelaburan melalui pimpinan Muhyiddin dan sokongan daripada termasuk Pas, UMNO, Bersatu dan parti komponen lain.

Artikel Berkaitan:

Tambah Azmin, kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini dan Slim membuktikan kerjasama kuat PN.

"Rakyat sudah letih dengan politiking melampau. Terbukti di Slim, apabila sokongan orang Cina kembali kepada PN," kata beliau.