X

Kindly register in order to view this article
!

Bukan sebab masalah gaji

Penyerang JDT, Safawi Rasid berjaya melepasi penjaga gol Perak, Nasrullah Abdul Aziz pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim. -Foto Bernama
A
A

KEKALAHAN besar 0-7 Perak kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim malam kelmarin tiada kaitan dengan sebarang masalah terutamanya melibatkan pembayaran gaji.

Ketua Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic berkata, isu sedemikian tidak pernah timbul kerana pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) bertanggungjawab dalam soal kebajikan barisan pemain dan jurulatih.

Malah, Durakovic memberitahu, selama berkhidmat bersama skuad The Bos Gaurus, beliau sendiri tidak mempunyai sebarang rungutan berkaitan pembayaran gaji.

“Isu-isu seperti ini (masalah pembayaran gaji) tidak berlaku dalam skuad Perak kerana segala urusan diuruskan dengan baik dan sentiasa dikemas kini oleh kakitangan PAFA.

“Selain itu, Presiden PAFA (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), pengurus pasukan (Datuk Adly Shah Ahmad Tah) juga adalah individu yang hebat. Ini menjadikan Perak begitu baik dalam urusan berkaitan bayaran gaji, bonus dan lain-lain.

“Kesimpulannya, tiada isu atau sebarang permasalahan. Semuanya diuruskan dengan baik untuk kemudahan pemain, jurulatih dan staf pasukan,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Mengulas kekalahan tersebut, Durakovic berkata, ia berpunca akibat daripada kesilapan-kesilapan yang dilakukan anak-anak buahnya sehingga menyaksikan mereka dihukum jentera serangan skuad Harimau Selatan.

“Untuk aksi malam ini (malam kelmarin), pastinya saya tidak berpuas hati. Kami banyak melakukan kesilapan dan JDT pula sememangnya berada dalam kelasnya yang tersendiri.

“Tetapi jangan lupa kami juga kehilangan beberapa pemain utama. Saya harap pemain muda belajar daripada kesilapan dan kembali bangkit pada perlawanan akan datang.

“Sebagai jurulatih saya perlu beri galakan kepada Nasrullah (Abdul Aziz) untuk memulihkan keyakinannya. Apa yang berlaku kepada Nasrullah sebagai pengajaran yang berguna untuk dia belajar sebagai pemain bola sepak,” jelas Durakovic.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!