Al-Maunah: Sengsara Kak Yah besarkan anak-anak tanpa Abe Lie

Abe Lie ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas dua minggu dibebaskan daripada penjara.
Abe Lie ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas dua minggu dibebaskan daripada penjara.
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebelum tahun 2000 kehidupan Abe Lie dan Kak Yah sebagai suami isteri bersama lapan anaknya yang ketika itu masih kecil cukup bahagia.

Bagaimanapun, mahligai cinta mereka akhirnya diragut selepas Abe Lie ditangkap kerana terjebak dalam kumpulan Al-Maunah dan dijatuhi hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Sejak itu Kak Yah sebagai suri rumah sepenuh masa terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi membesarkan lapan anak mereka.

“Ketika itu hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya berdepan ujian berat melaksanakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga apabila Abe Lie berada di penjara," katanya.

Menurutnya, tekanan makin bertambah apabila anak sulungnya baharu sahaja diterima masuk mengikuti pengajian peringkat diploma di sebuah institusi pengajian tinggi.

Katanya, desakan hidup membuatkan dia mengambil keputusan untuk menjual kuih secara kecil-kecilan dan berkat kerja keras semua anak-anak dibesarkan dengan penuh kasih sayang sehingga mereka berjaya membina kerjaya sendiri pada hari ini

Kak Yah turut mengakui dia cukup bertuah apabila keluarganya dan mertua serta rakan-rakan memberikan sokongan untuk membesarkan lapan anaknya itu.

Katanya, besar kemungkinan dia tidak mampu untuk menggalas tanggungjawab itu sekiranya tiada sokongan padu daripada keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Saya bersyukur anak-anak juga memahami situasi saya ketika itu,” katanya.

Menurutnya, selepas 20 tahun berjuang seorang diri berbekalkan semangat daripada suami dari tirai besi, dia kini bersyukur kerana insan tercinta itu berada di depan mata sejak dua minggu lalu.

Selepas 20 tahun dipisahkan, kini Kak Yah dan Abe Lie bersama kembali menghabiskan sisa hidup mereka disamping anak-anak dan cucu-cucu.
Selepas 20 tahun dipisahkan, kini Kak Yah dan Abe Lie bersama kembali menghabiskan sisa hidup mereka disamping anak-anak dan cucu-cucu.

Kak Yah berkata, suaminya dibebaskan selepas mendapat pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong.

"Alhamdulillah, berkat doa kami terutama ibu mertua akhirnya kami sekeluarga menerima khabar gembira apabila Abe Lie diberikan pengampunan.

"Gembiranya kami sukar digambarkan sehinggakan tiada kata yang dapat dituturkan," katanya.

Sementara itu, Abe Lie juga bersyukur dan menganggap pembebasannya sebagai nikmat yang dikurniakan oleh ALLAH.

Katanya, pengampunan itu secara tidak langsung telah membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

"Saya telah membuat keputusan untuk menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadah pada ALLAH dan berbakti kepada ibu yang kini berusia 98 tahun serta keluarga.

"Semasa dipenjarakan, anak-anak masih kecil dan sekarang saya sudah mempunyai sembilan orang cucu.

"Junjung kasih kepada Yang di-pertuan Agong di atas pengampunan yang diberikan," katanya.