Pengarang dan kemerdekaan

No Image Caption
A
A
A

DALAM konteks kita merayakan hari kemerdekaan, marilah kita sejenak merenung penulisan karya, penglibatan pengarang dan gerakan dalam memperjuangkan kemerdekaan. Telah tercatat dalam sejarah bahawa dunia kepengarangan menjadi katalis kepada kebangkitan nasionalisme.

Negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Jarang orang mengingatkan sepuluh tahun ke belakang, 1947, sekumpulan anak muda sedang berusaha menubuhkan sebuah persatuan untuk memajukan fikiran rakyat, mencipta keadilan masyarakat, membasmi rasa perhambaan dan berpaksi ke arah kemerdekaan.

Begitulah, 20 orang semuanya, antaranya Keris Mas, Mohd Arif Ahmad (MAS), Asraf, Hamzah, Rosmera, dan Jymy Asmara menubuhkan Angkatan Sasterawan 50 atau Asas 50 di Singapura. Kemudian mereka menetapkan ‘Seni Untuk Masyarakat’ menjadi slogan perjuangan. Ahli Asas 50, bergabung tenaga menghasilkan sajak, cerpen, drama, esei dan kritikan untuk menyemarakkan gerakan kemerdekaan itu.

Gerakan semangat itu telah dijana oleh kelahiran akhbar dan majalah sebelum Perang Dunia Kedua. Sebanyak 147 rumah penerbitan terbina. Ini bukanlah suatu bilangan yang kecil, antaranya Al-Imam, Semangat Islam, Suara Malaya, dan Utusan Melayu. Di sinilah tokoh-tokoh penulis itu bertugas dan berkumpul, antaranya Syeikh Tahir Jalaluddin (1903), generasi pertama peniup api perjuangan itu.

Dua orang pengarang, Ahmad Boestamam dan Ishak Haji Muhammad, sepuluh tahun ke belakang, 1938, telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda sebagai parti politik radikal Melayu pertama. Ahmad Boestamam menggunakan puisi, Ishak Haji Muhammad menulis cerpen untuk memberikan kesedaran. Sejak tahun 1935 lagi, tema semangat kebangsaan mula meresap ke dalam sastera Melayu, melemahkan kisah percintaan dan keluarga yang dominan sebelum itu.

Seandainya, kita telusuri 10 tahun ke belakang lagi, 1925, Syed Sheikh Al-Hadi, yang terdedah dengan pemikiran reformasi Muhammad Abduh, sewaktu menuntut di Universiti Al-Azhar, telah menghasilkan Hikayat Faridah Hanum sebagai pelopor novel Melayu. Diadaptasi daripada novel Zainab karya Husain Haikal, ia menganjurkan emansipasi dan kesedaran orang muda terhadap modenisme, dan menjadi wahana penyebaran semangat kemerdekaan.

Menggoda

Genre novel itu dengan cepat menggoda khalayak. Antara 1946-1950, sebanyak 68 judul novel diterbitkan, dan separuh daripadanya menyentuh kebangkitan bangsa dan kesedaran kebangsaan. Putera Gunung Tahan karya Ishak Haji Muhammad menjadi karya puncak nasionalisme, yang menyindir dan jijik dengan tabiat penjajah.

Artikel Berkaitan:

Tidak kurang pentingnya ialah jasa A. Rahim Kajai yang menulis 48 cerpen, masih membekas dan pragamatik dalam mencitrakan kemiskinan Melayu, dan senantiasa mengingatkan bahaya keciciran ekonomi bertarung dengan bangsa mendatang.

Paling istimewa, terdapat ratusan, malah ribuan rantaian puisi bernada patriotik menyuguhkan pemikiran tentang kebebasan. Antaranya, Masuri S.N. Yusof Arshad, Kasmani Haji Ariff, Abdullah Sidek dan Syamsudin Salleh, tidak penat-penat mengalirkan tinta perjuangan. Nyiur Melambai karya Masuri S.N. paling bertenaga dan popular. Namun, yang paling berhasil ialah Tongkat Warrant, menggabungkan romantisisme dengan realisme, indah, merdu, menawan, Jiwa Hamba dan Bunga Popi melekat di jiwa khalayak.

Franz Fanon, pengkaji pengaruh kekuasaan kolonial, Black Skin, White Masks (1952), menyatakan rasa kebencian terhadap penjajah punca kepada perjuangan kemerdekaan, tetapi kolonialisme dengan dampak buruk demi kekejamannya, menindas dengan kekukuhan ideologi serta hegemoninya, bagi mempertahankan segala permainan penjajah. Terdapat juga sifat buruk bangsa yang dijajah, mengidolakan penjajah mengamalkan mimikri.

Keris Mas, dengan 60 cerpen, mengemukakan idealisme kemasyarakatan dan antipenjajahan. Pemimpin Kecil dari Kuala Semantan mengenai kegigihan nasionalis, Hassan, yang terpaksa menghadapi dilema perjuangan, sama ada bersekongkol dengan pemerintah atau menentangnya yang menjadikan hutan sebagai medan perjuangan. Tetap Merdeka, reaksi tertubuhnya UMNO, setelah menang meminggirkan Malayan Union, dan bersedia berjuang ke arah kemerdekaan.

Pascamerdeka

Dalam genre drama terdapat juga berpuluh-puluh drama sejarah, purbawara dan prarealisme dalam jajaran dan paralel dengan perjuangan. Paling spektakuler pada zamannya, Si Bongkok Tanjung Puteri karya Shaharom Husain, menolak angkara penjajah yang hendak menjajah negara.

Namun, Usman Awang pada malam negara menyambut ketibaan merdeka, melalui Malam Kemerdekaan, cuba mempolemikkan makna kemerdekaan. Protagonisnya, Affandi memperlekeh kerana negara merdeka ‘diterima di atas dulang emas', tidak melalui darah dan air mata, nilai kemerdekaan itu murah di mata pejuang.

Namun, antagonisnya, Ungku Bahri, menyifatkan itu adalah sebuah sarkastik politik, ia tetap menghargai nilai kemerdekaan, kerana berjaya menghalau penjajah. Selepas itu Usman Awang pula menemukan wira Melayu baharu, Matinya Seorang Pahlawan, yang menampilkan Jebat yang membawa sifat keberanian luar biasa.

Ahmad Boestamam ialah contoh tepat, pascamerdeka menghasilkan 17 buah novel antaranya Merangkaklah Senja Menutup Pandangan (1964), Putus Sudah Kasih Sayang (1966), Api dan Air Mata (1967), dan Rumah Kaca Digegar Gempa (1969), yang rata-rata merakamkan perjuangan demi mengukuhkan jati diri bangsa; dan menidakkan kuasa Eurosentrisme Barat.

Saya turut menulis drama Mentari Bangsa, kisah penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union. Diikuti karya parodi Merdeka! Merdeka!, novel sejarah citra perjuangan dan kejayaan dalam membina bangsa.

Dengan berdirinya Dewan Bahasa dan Pustaka, menjadi lambang kekuasaan sastera Melayu sebagai institusi sastera kebangsaan; juga kedaulatan bahasa Melayu yang menjadi wahana kenegaraan. Kita haruslah bersiap sedia dan waspada, justeru akan kedengaran suara-suara sumbang yang cuba mengkotak-katikkan sastera kebangsaan itu.

Demikianlah sejalur perjuangan, ditelusuri daripada pengalaman yang panjang, mahal dan berhikmah. Tentulah banyak karya, ramai pengarang, dan pelbagai gerakan dilakukan; namun apa yang dicatatkan di sini, hanyalah sekelumit daripada karya yang dominan, dan pengarang yang bernarasi besar, serta gerakan penting yang mendapat sentuhan.

Hendaknya, pada saat-saat kita merayakan kehadiran hari bertuah ini, janganlah kita lupa, bahawa dunia sastera pada suatu masa dahulu, pernah berjuang dan berjasa ke arah kemerdekaan negara.

* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia