KPLB pertingkat aktiviti wanita luar bandar berimpak tinggi

Abdul Rahman (empat dari kiri) bersama wakil-wakil peserta yang menerima sijil pada program Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Abdul Rahman (empat dari kiri) bersama wakil-wakil peserta yang menerima sijil pada program Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar negeri Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan terus memperkukuh dan mempertingkatkan aktiviti wanita luar bandar dengan melaksanakan pelbagai aktiviti berimpak tinggi khususnya dalam bentuk kepimpinan wanita di peringkat komuniti.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ia bagi memastikan golongan wanita mempunyai wawasan jelas dalam membantu rakan lain selain berupaya keluar dari kehidupan lama.

“Seperti yang kita sedia maklum, penduduk luar bandar biasanya banyak bergantung kepada perusahaan pertanian iaitu getah dan sawit.

“Namun, meskipun dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita tetap mencari peserta-peserta kita khususnya di luar bandar untuk dilatih, seterusnya dibantu dengan memberi geran seperti kewangan dan selebihnya peralatan,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar negeri Sabah di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, menerusi geran disediakan, peserta terlibat akan dapat meningkatkan daya usaha dalam aktiviti dan program yang dilaksanakan KPLB menerusi agensi di bawahnya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pelaksanaan seminar kepimpinan wanita luar bandar yang dilaksanakan Institut Kemajuan Desa (INFRA) di bawah KPLB itu adalah antara program diberi tumpuan di bawah salah satu daripada enam teras iaitu Wanita berdasarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB).

"Antara objektif pelaksanaan aktiviti ini adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kepimpinan wanita kepada ilmu berkaitan kepimpinan selain memberi pendedahan kepada wanita berkaitan potensi dan cabaran revolusi keempat.

“Selain itu, seminar ini juga bagi mempersiaga wanita di semua peringkat dengan kemahiran kepimpinan dan keusahawanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada majlis itu, seramai 110 orang peserta terlibat membabitkan beliawanis, ibu tunggal dan usahawan luar bandar sekitar Kota Kinabalu, Papar dan Putatan.

Seminar yang diadakan di Sabah itu merupakan negeri kedua selepas Kelantan dan akan dilaksanakan di empat buah negeri lain iaitu Terengganu, Pahang, Johor dan Sarawak.