Gangguan bekalan air perlu penyelesaian jangka panjang: Annuar

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan masalah gangguan bekalan air yang terlalu kerap berlaku di Lembah Klang sehingga kini memerlukan satu langkah penyelesaian jangka masa panjang.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, langkah penyelesaian itu termasuklah kawasan Wilayah Persekutuan menubuhkan satu Perbadanan Air sendiri selain membina sistem sokongan atau alternatif bekalan air untuk jangka masa panjang.

Menurutnya, masalah gangguan bekalan air tidak berjadual sudah mencapai tahap membimbangkan dan tindakan ke arah mencari penyelesaian jangka masa panjang perlu diterokai segera.

"Gangguan bekalan air yang terlalu kerap di ibu kota negara (ini) merisaukan.

"Satu penyelesaian jangka panjang perlu dicari termasuk WP (Wilayah Persekutuan) mempunyai Perbadanan Air sendiri serta membina sistem 'back up' (sokongan) atau alternatif bekalan untuk jangka panjang.Tindakan ke arah itu perlu segera diterokai," katanya dalam satu ciapan di akaun Twitter rasminya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah gangguan bekalan air tidak berjadual yang dihadapi lebih 1.2 juta penduduk sekitar Lembah Klang sejak dua hari lalu susulan berlakunya pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pencemaran berkenaan di Sungai Gong, Rawang dipercayai berpunca daripada sebuah kilang dan menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas.

Situasi itu turut mengakibatkan 1,292 kawasan di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, media melaporkan empat pengurus kilang berusia dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran berkenaan direman enam hari bermula hari ini.