UMNO perlu laksana referendum penyertaan Bersatu dalam MN

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Pimpinan UMNO disaran untuk melakukan referendum berhubung kemasukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Muafakat Nasional (MN) termasuk soal pembahagian kerusi.

Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak, Isham Jalil berkata, referendum itu bagi menentukan dan menjawab persoalan sama ada ahli-ahli parti menerima sebarang cadangan atau keputusan pimpinan parti.

"Dengan adanya referendum ini, perbincangan dan hujah-hujah boleh dibuat di semua peringkat sebelum pengundian atau pungutan suara dibuat untuk menentukan baik buruk cadangan dan keputusan itu.

"Di samping itu, ia bagi mendapatkan persetujuan kebanyakan pihak. Ini kerana, sekiranya akar umbi dan ahli-ahli UMNO tidak bersetuju akan keputusan penerimaan dan pembahagian kerusi dengan Bersatu, ia dikhuatiri akan menjadi satu malapetaka buat UMNO, Barisan Nasional (BN) dan MN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya di sini hari ini.

Isham berkata, adalah lebih baik pucuk pimpinan parti mendapatkan pandangan akar umbi ketika perkara itu masih di peringkat awal kerana pada akhirnya ahli akar umbi juga yang akan berjuang di lapangan.

"Lebih baik pucuk pimpinan mendapatkan pandangan akar umbi di masa dan peringkat ini kerana pada akhirnya akar umbi yang akan bekerja berpenat lelah berjuang memenangkan calon-calon kita," katanya.

Beliau berkata, keputusan menerima Bersatu termasuk dalam soal pembahagian kerusi bukanlah suatu keputusan biasa.

"Ia adalah suatu keputusan kritikal yang memberi kesan besar kepada UMNO di semua peringkat untuk jangka masa panjang atau selama-lamanya.

Artikel Berkaitan:

"Ia juga bukan seperti keputusan piagam MN bersama Pas dahulu di mana rata-rata akar umbi UMNO bersetuju dengan tiada penolakan signifikan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Bersatu sertai MN bukan keputusan Muhyiddin seorang'