Perlis perlu fokus kepada pelaburan bernilai tinggi: Azmin

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika lawatan beliau ke Kilang Fermpro Sdn Bhd Sdn. Bhd di Jalan Bukit Keteri, Kawasan Industri Cuping di sini hari ini. -Foto Bernama
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika lawatan beliau ke Kilang Fermpro Sdn Bhd Sdn. Bhd di Jalan Bukit Keteri, Kawasan Industri Cuping di sini hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KANGAR – Kerajaan pusat berharap kerajaan negeri Perlis lebih memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tinggi dan industri berteknologi tinggi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sudah tiba masanya bagi kerajaan negeri Perlis beralih kepada industri berteknologi tinggi kerana ia mampu membawa peluang pekerjaan berkualiti kepada rakyat.

“Kami di peringkat kerajaan persekutuan kini sedang memberi fokus kepada usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja menerusi program ‘re-skilling’ dan ‘upskilling’ supaya mereka dapat memenuhi permintaan industri.

“Sekarang ini, kita telah bergerak ke arah Revolusi Industri 4.0, industri automasi, robotik dan sebagainya.

“Malah kita juga menggalakkan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mengadaptasikan teknologi baharu supaya mereka dapat meningkatkan produktiviti dan pengeluaran,” katanya ketika melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) dekat sini hari ini.

Beliau berkata, Malaysia sebahagian daripada rantaian bekalan dunia dan oleh itu, negara perlu segera memenuhi permintaan industri dengan mengadaptasikan teknologi baharu agar tidak ketinggalan ke belakang.

Menurut Mohamed Azmin, rakyat Perlis mempunyai potensi besar sekiranya mereka diberi sokongan dan beliau yakin Perlis mampu muncul sebagai salah sebuah negeri yang penting dalam sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara ini satu hari nanti.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin meminta kerajaan negeri Selangor mengambil tindakan lebih tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran sungai hingga menjejaskan pengguna domestik air di negeri berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Pentadbiran kerajaan negeri Selangor perlu terus mengambil tindakan tegas kerana pencemaran dan gangguan bekalan air boleh memberikan impak besar bukan hanya kepada pengguna tetapi juga kepada industri dan ekonomi negara.

“Pengalaman saya ketika menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini adalah saya telah mengambil tindakan tegas bukan hanya menutup kilang-kilang yang berada di tebing sungai (kilang haram) tapi turut mengheret pesalah ke mahkamah kerana tindakan tidak bertanggungjawab mereka,” katanya yang pernah menjadi menteri besar Selangor (2014-2018). - Bernama