Putra gerak inisiatif bantu pengguna saman Air Selangor

Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
Mohd Khairul Azam Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) akan menggerakkan inisiatif mengambil tindakan undang-undang bagi menyaman pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd atas kegagalan memastikan pengguna mendapat bekalan air.

Sehubungan itu peguam yang juga Naib Presiden Putra, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz meminta pengguna yang terjejas teruk untuk tampil menjadi plaintif dalam saman tersebut.

Menurutnya, pengguna boleh menghantar butiran peribadi dan anggaran kerugian ditanggung kepada pihaknya melalui alamat emel biroaduanawamputra@gmail.com

"Masalah air melibatkan loji rawatan air Sungai Selangor dikatakan berpunca daripada kegiatan pencemaran air oleh beberapa kilang di sepanjang Pusat Perindustrian Sungai Gong.

"Putra difahamkan pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan notis penutupan premis kepada kilang-kilang yang disyaki terlibat mencemarkan sungai berkenaan.

"Ini bermaksud pihak berkuasa telah mempunyai rekod pemilik kilang yang terlibat dan masalah ini bukanlah masalah baharu," ujarnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Tambah beliau, mengikut rekod awam, aktiviti mencemarkan Sungai Gong wujud sejak 2013 dan kilang terlibat diarahkan tutup namun kejadian pencemaran masih terus berlaku.

Menurutnya, jutaan rakyat di negeri ini menderita kerana terputus bekalan air bersih.

Artikel Berkaitan:

"Air adalah keperluan asasi rakyat dan pihak-pihak yang terlibat harus mengambil tanggungjawab atas kecuaian masing-masing yang telah mengakibatkan kerugian kepada jutaan pengguna," katanya.