Gol Afiq Fazail pencetus kemenangan besar JDT

Jaringan cantik Muhammad Afiq yang menjadi pencetus kebangkitan JDT pada perlawanan berkenaan. -Foto: FB Johor Southern Tigers
Jaringan cantik Muhammad Afiq yang menjadi pencetus kebangkitan JDT pada perlawanan berkenaan. -Foto: FB Johor Southern Tigers
A
A
A

GOL jaringan Muhammad Afiq Fazail pada minit ke-22 dilihat menjadi faktor utama kebangkitan JDT itu bagi menewaskan Perak 7-0 pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, gol berkenaan nyata berjaya ‘membuka jalan’ buat kesebelasan anak didiknya untuk menembusi benteng pertahanan pelawat yang dilihat begitu ‘kebal’ bagi tempoh 20 minit pertama perlawanan.

Menurutnya jaringan cantik Muhammad Afiq menerusi rembatan dari luar kotak penalti itu sekali gus memberikan keyakinan kepada skuad Harimau Selatan itu untuk mengharungi perlawanan dan seterusnya menghasilkan lebih banyak jaringan.

“Jaringannya mungkin agak besar, 7-0 tetapi sebenarnya ia satu perlawanan yang sukar pada peringkat awal di mana pergerakan Perak dilihat tersusun dan meninggalkan ruang yang agak kecil untuk kita bergerak.

“Bagaimanapun gol cantik daripada ‘Jambu’ (Muhammad Afiq) memberikan keyakinan kepada pemain untuk terus beraksi dengan baik dan seterusnya menambah gol dalam perlawanan ini,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Selain jaringan Muhammad Afiq, penyerang importsensasi JDT, Gonzalo Cabrera turut mencatat hattrik menerusi jaringan pada minit ke-36, 45 (penalti) dan 63.

Pemain muda Ramadhan Saifullah Usman turut mencatatkan nama selaku penjaring apabila meledak jaringan keempat pada penghujung babak pertama manakala dua pemain gantian Safawi Rasid dan Akhyar Rashid masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-79 dan 84 bagi melengkapkan kemenangan penuh gaya skuad Harimau Selatan itu.

Mengulas mengenai prestasi pemain JDT pada perlawanan berkenaan, Mora nyata gembira dengan prestasi cemerlang bintang importnya, Gonzalo Cabrera yang meledak hattrik pada perlawanan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malah Mora turut berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan pemain muda, Ramadhan Saifullah Usman yang sekali lagi berjaya menjaringkan gol setelah melakukannya pada aksi berdepan Pahang di Stadium Darul Makmur, 28 Ogos lalu.

"Cabrera sememangnya pemain yang boleh disifatkan sebagai aset bagi JDT dan telah muncul selaku penjaring utama pasukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini manakala Ramadhan (Saifullah) pula membuktikan dia seorang pemain muda yang baik.

“Saya turut berpuas hati dengan aksi dua pemain gantian di bahagian sayap iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang saya dapati memiliki kualiti yang hampir sama.

“Namun yang paling penting, kita juga berjaya mengelakkan gawang kita dibolosi pada perlawanan ini,” katanya.