Tekun Nasional perlukan dana tambahan

Mas Ermiyati beramah mesra bersama penjual yang berniaga di Pasar Tani Pelancongan Pengkalan Datu di pekarangan Cerana Villa Resort.
Mas Ermiyati beramah mesra bersama penjual yang berniaga di Pasar Tani Pelancongan Pengkalan Datu di pekarangan Cerana Villa Resort.
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dalam Negeri (MEDAC) bercadang memohon dana tambahan untuk membantu usahawan dan perusahaan kecil dan sederhana menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

Timbalan Menterinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, sebelum ini kerajaan memperuntukkan RM100 juta kepada Tekun Nasional melalui Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi membantu usahawan mikro yang terjejas perniagaannya akibat koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, peruntukan itu tidak mencukupi kerana menerima lebih 10,000 permohonan daripada usahawan yang memerlukan tambahan dana untuk memulakan dan meneruskan perniagaan mereka pasca Covid-19.

"Jika boleh ditambah lagi dana, itu lebih baik. Ramai yang memohon memandangkan tempoh kelulusan cepat dan tidak memerlukan dokumen yang banyak. Ini usaha kerajaan membantu rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Tani Pelancongan Pengkalan Datu di pekarangan Cerana Villa Resort di sini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Mohd Asri Husin.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata, pihaknya sentiasa mengambil kira maklum balas daripada pemohon yang tidak sempat menerima dana berkenaan.

Sementara itu, Mas Ermiyati turut mencadangkan pengurusan Pasar Tani Pelancongan menubuhkan koperasi bagi membolehkan mereka mendapat pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan termasuk geran.

Beliau berpandangan, pasar tani tersebut berpotensi besar untuk dikembangkan selain mampu memberi pulangan baik jika ditubuhkan koperasi.

Artikel Berkaitan:

“Perniagaan yang memperkenalkan makanan tradisional dan budaya ini sedikit sebanyak membawa impak positif selain menjana ekonomi penduduk setempat,” katanya.