Isu pencemaran air sering dibangkitkan pembangkang: Rizam

Kilang yang didakwa menyebabkan pencemaran di Sungai Gong Rawang.Gambar kecil: Rizam Ismail
Kilang yang didakwa menyebabkan pencemaran di Sungai Gong Rawang.Gambar kecil: Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor didakwa tidak tegas dalam menangani isu pencemaran air yang sudah kerap kali dibangkitkan oleh pembangkang dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail berkata, isu air bukan masalah baharu di Selangor, malah lima kes pencemaran sungai yang serius di negeri ini direkodkan tahun ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sepatutnya tidak berlembut dengan pihak yang melakukan pencemaran air, sebaliknya perlu menutup premis yang didapati melakukan kesalahan berkenaan.

"Kerajaan negeri harus meneliti hukuman sedia ada dan menggubal hukuman yang lebih berat termasuk penjara sekiranya didapati bersalah.

"Penguatkuasaan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) juga harus dipertingkatkan bukan hanya terhadap premis mesin judi atau tidak berlesen tetapi juga premis yang berisiko tinggi terhadap pencemaran air," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rizam berkata, pencemaran sungai berpunca daripada kilang dan premis yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan masalah kepada orang ramai.

"Saya sangat kesal dengan situasi ini yang mengakibatkan jutaan pengguna terjejas dengan masalah air sehingga kehidupan seharian mereka terjejas.

"Pembangkang sentiasa mengingatkan kerajaan negeri di dalam Sidang DUN supaya mengambil langkah-langkah progresif termasuk menggubal dasar PBT supaya insiden pembuangan sisa minyak dan bahan kimia sungai di Selangor tidak berulang secara serius.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga kecewa kerana kerajaan negeri merobohkan rumah rakyat atas alasan bagi menyegerakan projek tebatan banjir tetapi tidak mengenakan tindakan ke atas premis yang menyebabkan pencemaran," katanya.

Sejak Khamis lalu, seramai 1.2 juta pengguna di Lembah Klang terlibat dengan gangguan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang. Ia disebabkan pencemaran bau dipercayai dari sebuah kilang berdekatan yang melepaskan bahan pelarut ke Sungai Gong.

Susulan itu, pemilik kilang tersebut terdiri empat beradik berusia 50 hingga 60 tahun ditahan dan direman selama enam hari bermula hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 430 Kanun Keseksaan.