ADUN Permas nafi mahu lompat parti

Che Zakaria (kiri) bertanya khabar seorang pesakit yang menerima bantuan pada Majlis Permuafakatan Penduduk di Flat Geharu, Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor hari ini.
Che Zakaria (kiri) bertanya khabar seorang pesakit yang menerima bantuan pada Majlis Permuafakatan Penduduk di Flat Geharu, Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh menafikan akan mengikut jejak Datuk Osman Sapian sekiranya bekas Menteri Besar Johor itu melompat parti dan menyokong Pakatan Harapan (PH).

Che Zakaria menegaskan, sebagai ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau akan terus memberikan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad menerajui negeri ini menerusi Perikatan Nasional (PN).

"Ini (dakwaan beliau akan keluar parti dan mengikut Osman menyokong PH jika dipecat daripada Bersatu) khabar angin sahaja. Kerajaan PN sudah memerintah negeri ini dengan baik, buat apa kita nak tukar.

"Rakyat Johor pun kita lihat sudah suka dengan pentadbiran kerajaan PN. Tuduhan bahawa saya akan lompat parti adalah fitnah," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Majlis Permuafakatan Penduduk di Flat Geharu, Taman Rinting di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan menyatakan beliau dan beberapa ADUN Bersatu akan mengikut jejak langkah Osman sekiranya bekas Menteri Besar Johor itu menyatakan sokongan kepada PH.

Tindakan itu diramalkan akan menyebabkan kerajaan Johor bertukar semula kepada PH.

Ini susulan tindakan Osman yang berkempen menyokong calon Bebas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk beliau bakal menjadi ADUN Bebas kerana berkemungkinan dilucut keahlian dalam parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Dibuang Bersatu: Belum ada surat rasmi, kata Osman

Artikel Berkaitan:

Sekiranya Osman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam seorang diri menyertai PH, maka DUN Johor akan tergantung kerana kerusi dimiliki PN dan PH masing-masing berjumlah 28 kerusi.

Ini juga memungkinkan DUN dibubarkan bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) atau kerajaan PH mengambil alih semula kerajaan selepas Osman dan beberapa ADUN PN melompat parti dan menyokong PH.

DUN Johor memiliki 56 kerusi melibatkan UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (12), MIC (2), Pas (1), Amanah (9) dan PKR (4) menjadikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai 29 kerusi berbanding PH 27 kerusi. Majoriti mudah membentuk kerajaan Johor adalah 29 kerusi.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata, tidak ada keperluan untuk membubarkan DUN Johor pada ketika ini, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada memberi bantuan dan menjaga kebajikan rakyat yang terjejas serta dalam proses pemulihan Covid-19.

"Namun sekiranya Menteri Besar Johor sudah mendapat perkenan Sultan Johor untuk membubarkan DUN dan merasakan ini jalan terbaik, Bersatu sudah bersedia untuk menghadapi PRN atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya.