Zahasmi kecewa jentera serangan KUFC tumpul

Pemain Kelantan United FC, Alfusainey Gassama (dua, kiri) dihalang oleh pemain Kuala Lumpur, Azammat Baimatov (kanan) pada perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi. - Foto Bernama
Pemain Kelantan United FC, Alfusainey Gassama (dua, kiri) dihalang oleh pemain Kuala Lumpur, Azammat Baimatov (kanan) pada perlawanan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Jentera serangan yang tumpul menyebabkan skuad Kelantan United (KUFC) terpaksa berputih mata apabila gagal meraih kemenangan ketika menerima kunjungan Kuala Lumpur dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Ketua jurulatih KUFC, Zahasmi Ismail berkata, walaupun secara keseluruhannya berpuas hati dengan corak permainan dipamerkan pasukan namun kecewa dengan barisan penyerang yang gagal memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol lawan.

"Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol namun penyerang kami bermasalah menyebabkan pasukan lawan buat serangan balik dan menjaringkan gol,” katanya di sini hari ini.

Pada perlawanan semalam, KUFC tewas 0-2 kepada ‘The City Boys’ menerusi jaringan pemain import dari Brazil Paula Josue pada minit ke-63 dan minit ke-90.

Dalam pada itu, Zahasmi berkata, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkuatkan jentera serangan KUFC bagi mengharungi baki lima perlawanan sekali gus melonjakkan pasukan itu ke saingan Liga Super musim depan.

Katanya, pemain di bahagian serangan harus mengubah sikap mereka manakala pemain di posisi lain pula perlu mengurangkan kesilapan yang boleh menghukum pasukan sendiri.

"Kami akan bertemu pasukan berstatus kelab yang berada di kedudukan bawah daripada pasukan kami. Oleh itu, saya mahu pemain mengambil kesempatan dalam perlawanan ini," katanya.

Selepas enam perlawanan, KUFC kini berada di kedudukan kelima dengan sembilan mata hasil daripada tiga kemenangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, di MELAKA, ketua jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan memuji disiplin tinggi yang diamalkan pemain ketika menentang Terengganu FC yang berpihak kepada tuan rumah 1-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat.

Menurut beliau, perkara lebih penting apabila tiga mata itu membolehkan skuad Hang Tuah mendaki carta liga selepas dipotong tiga mata sebelum ini mengakibatkan mereka berada dalam zon bahaya.

“Alhamdulillah dan tahniah kepada para pemain kerana menunjukkan semangat pasukan dan inilah acuan yang kita dapat selepas kembali berlatih dalam masa dua bulan.

“Di bawah pimpinan pengurusan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) Datuk Seri Sulaiman Md Ali juga banyak perubahan positif dapat dilihat, dengan sokongan penuh diberikan serta janjinya untuk menjaga pasukan dengan baik, sudah tentu kami membalas kepercayaan itu,” katanya.

Melaka United bakal berkunjung ke Stadium Shah Alam untuk berdepan Selangor pada 11 September. - Bernama