Jentera tengah The Fighters digesa lebih kreatif

Kesebelasan Felda United. - Foto Felda United FC
Kesebelasan Felda United. - Foto Felda United FC
A
A
A

JENTERA tengah Felda United digesa lebih kreatif dalam mencipta peluang kepada bahagian serangan apabila berkunjung menentang Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada aksi CIMB Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Pengendali The Fighters, Mohd Nidzam Jamil berkata, beliau melihat bahagian tengah The Fighters akan menjadi penentu kepada kemampuan pelawat menguasai perlawanan berkenaan setelah tewas tipis 0-1 kepada UiTM FC di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, minggu lalu.

Menurutnya, keupayaan mental di bahagian tengah menjadi teras kepada kekuatan kedua-dua pasukan pada perlawanan berkenaan kerana kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang.

"Sekiranya mental pemain Felda United kuat untuk menguasai bahagian tengah dengan tindakan penyudah lebih tajam, saya optimis kita mampu membawa pulang keputusan positif ke Jengka.

"Pada masa sama saya mahu pemain ambil pengajaran kealpaan pada babak pertama ketika menentang UiTM sebelum ini kerana kita tidak boleh lagi keciciran mata selepas tewas kepada UiTM tempoh hari kerana baki lawan kita selepas ini semuanya adalah lawan yang kuat.

"Jika diikutkan dari segi matematiknya PDRM pun sebenarnya masih berpeluang untuk keluar dari zon penyingkiran dalam baki perlawanan ini, jadi saya pasti mereka tidak akan memberi laluan mudah," katanya.

Sementara itu, mengulas aksi berdepan UiTM FC minggu lalu, Nidzam mengakui kealpaan jentera The Fighters pada babak pertama menjadi antara penyumbang kepada kekalahan di laman sendiri itu.

"Apabila kita membenarkan mereka selesa mendahului pada 45 minit pertama agak sukar untuk kita bangkit pada babak kedua kerana lawan menukar taktikal mereka.

Artikel Berkaitan:

"Saya akui pemain-pemain Felda United cuba bangkit memberi tentangan pada babak kedua, namun lawan mula menutup ruang-ruang di bahagian belakang pada babak kedua," katanya.