Proses cuci LRA 10 jam

Sebanyak 1,292 kawasan dilapor mengalami gangguan bekalan air berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor kelmarin.
Sebanyak 1,292 kawasan dilapor mengalami gangguan bekalan air berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor kelmarin.
A
A
A

SHAH ALAM - Proses pencucian dan pengepaman di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas sejak pagi Khamis lalu mengambil masa selama 10 jam sebelum dapat beroperasi sepenuhnya bagi mengisi kolam imbangan sehingga ke paras empat meter.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, keempat-empat LRA berkenaan mula beroperasi semula secara berperingkat pada jam 10.30 malam tadi dan proses tersebut selesai kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

"Air Selangor akan memaklumkan jadual pemulihan bekalan air mengikut kawasan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan terlebih dahulu.

"Ini termasuk memenuhkan semua tangki utama bagi memastikan tekanan air mencukupi dan tiada 'airlock' dalam sistem perpaipan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kilang punca pencemaran Sungai Gong sudah disita

Kilang jentera berat disyaki punca pencemaran Sungai Gong

Pencemar tanggung kos pembersihan sungai

Menurutnya, Air Selangor terus melakukan pelepasan air mentah dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 500 juta liter sehari (JLH), Empangan Sungai Tinggi (800 JLH), HORAS 600 (150 JLH) dan operasi pengepaman kolam air pula sebanyak 2,023 JLH untuk membantu proses pemulihan sumber air mentah bagi keempat-empat LRA yang kini sedang beroperasi merawat air dengan kapasiti maksimum sebanyak 2,850 JLH.

Artikel Berkaitan:

"Air Selangor turut mendapat bantuan sembilan lori tangki daripada Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) dan Syarikat Ranhill SAJ Sdn Bhd (SAJ) untuk membantu mengagihkan air kepada pengguna terjejas.

"Setakat ini, Air Selangor menggerakkan sebanyak 114 lori tangki termasuk sembilan dari operator negeri lain, menyediakan 22 pili awam di kawasan yang mempunyai bekalan air, menempatkan 70 tangki statik di 19 Pusat Khidmat Setempat serta mengagihkan air minum 5 liter kepada pengguna yang terjejas," katanya.

Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor temasuk Twitter, Facebook Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.

Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.