SPRM digesa siasat kilang haram punca pencemaran air

Razlan Rafii
Razlan Rafii
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan terperinci berhubung isu kilang haram di Selangor yang masih beroperasi walaupun telah dikenakan tindakan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii mendakwa, terdapat ahli politik di negeri itu yang melindungi kilang haram berkenaan untuk terus beroperasi.

Menurutnya, kilang haram berkenaan sebelum ini telah dikenakan kompaun RM60,000 oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) kerana melepaskan bahan tercemar di sungai, namun dibenarkan beroperasi oleh kerajaan negeri selepas membayar kompaun.

"Kewujudan pusat perjudian di Sungai Buloh yang dikesan beroperasi tanpa lesen kerana 'dilindungi' oleh individu tertentu, sama juga dengan kes kilang-kilang haram di Selangor.

"Ramai ahli politik di Selangor yang 'menjaga' sehingga kilang haram beroperasi sesuka hati mereka.

"Oleh itu, SPRM diminta melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti bagaimana kilang tersebut boleh beroperasi tanpa lesen," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kerajaan Selangor sepatutnya menutup kilang haram berkenaan daripada terus beroperasi.

"Bila terjadi sekali lagi (pencemaran sungai), tiga juta rakyat di Lembah Klang tidak dapat bekalan air dan kerajaan negeri tetap memberi notis penutupan sementara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini sebanyak 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air sejak semalam selepas empat loji rawatan air dihenti operasi ekoran pencemaran bau di Sungai Gong.

Menteri Besar, Amirudin Shari memaklumkan bahawa premis perindustrian Sungai Gong yang dipercayai menjadi punca gangguan bekalan air itu telah pun dikenakan kompaun dan disita oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, menurut Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, kilang tersebut didapati mengulangi kesalahan sama.