Buntu cari duit nak siapkan rumah terbengkalai

Tengku Mohd menyusun bata di hadapan tapak rumahnya yang masih terbengkalai sambil diperhatikan Abdul Rahman (kiri).
Tengku Mohd menyusun bata di hadapan tapak rumahnya yang masih terbengkalai sambil diperhatikan Abdul Rahman (kiri).
A
A
A

BACHOK - Dua ketua keluarga merasa buntu memikirkan cara untuk menyiapkan rumah mereka yang terbengkalai akibat masalah kewangan kerana masing-masing cuma bekerja sendiri di kampung.

Tengku Mohd Shukri, 32, berkata, sebelum ini dia dan isteri, Nordiana Mohamad, 20, bersama tiga anaknya yang berusia lingkungan sebulan hingga 10 tahun menumpang di rumah mentuanya, di sini.

“Namun kami terpaksa berhimpit lebih 10 orang dalam sebuah rumah. Jadi, saya membina rumah sendiri sedikit demi sedikit sejak lima tahun lalu tetapi nampaknya terbengkalai kerana saya hanya bergantung dengan gaji sebagai buruh.

“Boleh dikatakan hanya 20 peratus rumah ini dibina atas bantuan Masjid Muhammadiah dan duit sendiri. Selebihnya dianggarkan RM40,000 lagi diperlukan untuk saya siapkan rumah kami ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia baru sahaja mula bekerja dan dibantu isterinya yang mengambil upah membungkus produk kecantikan di Bachok.

Sementara itu, Raja Mohd Khuzaini Raja Ahmad, 31, pula berkata, dia mula membina rumah sendiri sejak 11 tahun lalu tetapi cuma mampu menyiapkannya sedikit demi sedikit memandangkan gajinya bekerja sebagai tukang rumah di Kok Lanas, Kota Bharu tidak banyak.

“Saya berusaha menyiapkan rumah dua bilik ini tetapi masih tidak mampu. Sekurang-kurangnya saya memerlukan lagi RM15,000 untuk melengkapkan semuanya. Sementelahan pula, saya perlu berjimat kerana isteri bakal melahirkan anak ketiga kami pada November ini,” katanya.

Susulan buntu melihat rumah yang sekian lama terbengkalai itu, Tengku Mohd dan Raja Mohd Khuzaini mengajukan masalah dihadapi mereka kepada imam Masjid Mukim Muhammadiah Beris Panchor, Abdul Rahman Mat.

Artikel Berkaitan:

Imam berkenaan memberitahu, pihaknya ada mewujudkan tabung dikhaskan membantu pembinaan rumah terbengkalai kepada keluarga tidak berkemampuan dengan bantuan dana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tawang, Datuk Hassan Mahmood dan derma orang ramai.

Abdul Rahman menambah, sejak tahun 2016 pihak masjid telah membantu 12 penduduk untuk menyiapkan rumah atau membaik pulih bilik serta sebagainya dengan membabitkan perbelanjaan berjumlah RM100,000.

“Pihak masjid tidak memberikan wang tunai tetapi kita akan membeli barangan keperluan untuk mereka menyambung balik pembinaan rumah.

"Pada tahun ini terdapat empat rumah perlu disiapkan di sekitar Tawang dan pihaknya sudah mendermakan sejumlah barangan dengan nilai tertentu tetapi belum mencukupi. Justeru, orang ramai mahupun badan korporat yang ingin sama-sama menderma boleh menyalurkan bantuan menerusi Bank Islam (03018010118136) atas nama Tetuan Tabung Kebajikan Masjid Muhammadi,” katanya.