‘Biar pimpinan PN putuskan’

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Terpulang kepada pimpinan tertinggi Perikatan Nasional (PN) sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan dibuat di peringkat Parlimen sahaja.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Kamaruzaman Mohamad berkata, keputusan mengenai perkara tersebut bergantung kepada perbincangan di peringkat tertinggi PN.

“Jika PRU15 melibatkan peringkat Parlimen sahaja, saya hormati sepenuhnya keputusan yang dibuat di peringkat Majlis Presiden PN.

“Saya mendokong apa sahaja yang dibuat pimpinan tertinggi PN,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini kelmarin.

Pada Rabu lalu, kerajaan negeri Kelantan membayangkan tidak akan mengadakan pilihan raya di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya PRU15 diadakan dalam masa terdekat, sekali gus mengikut jejak langkah kerajaan negeri Kedah yang mengumumkan pendirian sama kelmarin.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, perkara tersebut masih dalam perbincangan kepimpinan kerajaan negeri.

Namun, kata beliau, atas kaedah biasa, pihaknya melihat tiada keperluan untuk DUN dibubarkan, sebaliknya kemungkinan besar hanya di peringkat Parlimen.

Sementara itu, Kamaruzaman berkata, kuasa untuk membubarkan DUN berada di tangan Menteri Besar negeri masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Setiap negeri ada pandangan masing-masing dan saya menghormati pendirian kerajaan negeri-negeri tersebut. Jika berlaku PRU15 dalam masa terdekat, terpulang kepada negeri untuk guna budi bicara mengikut kepentingan masing-masing,” katanya.

No Image Caption

Sementara itu, pandangan berbeza dinyatakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang melihat bahawa pelaksanaan PRU15 sama ada di peringkat Parlimen sahaja atau turut dibubarkan DUN dan diadakan PRN, ia akan menyebabkan keadaan politik pada masa kini bertambah teruk.

Menurut Akmal Nasrullah, beliau melihat gesaan sesetengah pihak untuk mengadakan PRU bukan untuk mewujudkan kestabilan politik tetapi lebih bersifat kepentingan peribadi.

“Dalam keadaan negeri-negeri yang sebenarnya tak setuju bukan hanya dalam kalangan PH tapi sebelum ini Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga kata nak tumpukan kepada perjalanan kerajaan hari ini.“Tapi pengumuman tersebut beri tamparan kepada gesaan pimpinan UMNO kerana negeri dikemudi Pas memang tidak berminat seperti Kedah dan Kelantan.

“Ia sekali gus menunjukkan mereka tiada kesepakatan kerana polemik diwujudkan UMNO akan menyebabkan keadaan politik tambah celaru dan bila PRU pun negeri tak nak buat, tunjukkan Pas seolah-olah tak hormat keputusan di pusat. Masing-masing seperti bawa haluan sendiri,” katanya.

Tegasnya, semua pihak patut meletakkan kepentingan politik di tepi dan tumpukan kepada penyelesaian isu ekonomi yang bertambah teruk terlebih dahulu.