Penguatkuasaan lemah punca pencemaran berulang

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Penguatkuasaan undang-undang yang lemah menyebabkan isu pencemaran air di Sungai Selangor tidak berkesudahan sehingga membebankan jutaan rakyat di Lembah Klang.

Pakar Kajian Sumber Air daripada Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, pada tahun 2018 sahaja sebanyak sembilan kali pengguna mengalami gangguan bekalan air.

Menurutnya, situasi sama berulang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelmarin ganguan bekalan air menyebabkan lima juta rakyat di Kuala Lumpur dan Selangor terjejas.

“Sekiranya pihak yang menyediakan perkhidmatan air boleh ramal bekalan sering dicemari, kenapa tidak pertingkatkan penguatkuasaan?

“Perkara itu boleh dijangka tetapi akhirnya pengguna yang membayar bil air pula menanggung kesannya.

“Bagi saya, ia terjadi kerana penguatkuasaan dan masalahnya di Malaysia ialah pihak yang menyediakan perkhidmatan air itu lain dan pihak yang menguatkuasakan undang-undang itu lain,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Haliza berkata, ketidakseragaman antara pihak yang bertanggungjawab memburukkan lagi krisis air.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) ialah agensi Persekutuan yang melaksanakan penguatkuasaan dan tidak boleh campur tangan dalam isu negeri.

Artikel Berkaitan:

“Sekarang yang jadi masalah ialah isu pembahagian kuasa antara pihak-pihak yang berkaitan,” katanya.