'Terpaksa angkut air dari surau'

Norziah membungkus minuman dipesan pelanggan.
Norziah membungkus minuman dipesan pelanggan.
A
A
A

SHAH ALAM - Gangguan bekalan air yang berlaku sejak kelmarin di sekitar kawasan Lembah Klang dan menjejaskan kira-kira 6 juta penduduk turut menyebabkan operasi perniagaan di Medan Selera Subang Hi-tech di sini tergendala.

Malah, ada di antara peniaga gerai makanan dan minuman di situ terpaksa mengangkut air dari surau berhampiran.

Peniaga makanan, Anies Kamarudin, 42, berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain selain terpaksa mengeluarkan tenaga mengangkut air dari surau berkenaan bagi membolehkannya berniaga seperti biasa.

Menurutnya, gangguan bekalan air disedarinya awal pagi semalam sewaktu baru tiba ke kedai untuk memulakan perniagaan nasi ayam goreng kunyit.

"Saya hanya tahu ada gangguan bekalan air di sekitar Shah Alam, cuma saya tak sangka yang kawasan tempat berniaga juga terlibat.

"Saya nyaris tak berniaga hari ini (semalam) tapi disebabkan sudah membawa barang untuk dimasak, jadi saya minta izin daripada pihak surau untuk mengambil air bagi membolehkan berniaga seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian ketika tinjauan di lokasi berkenaan di sini semalam.

Anies berkata, sepanjang dua tahun berniaga di Medan Selera Subang, sudah tiga kali masalah gangguan air berlaku di situ.

"Saya kena ikhtiar untuk dapatkan bekalan air jika mahu berniaga kerana dalam sehari menerima lebih 300 pelanggan di sini.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap masalah ini tidak berulang lagi kerana setiap kali alami gangguan air, kami terpaksa berniaga dalam keadaan tidak selesa. Ia berkait dengan aspek kebersihan juga," katanya.

Norziah
Norziah

Peniaga minuman, Norziah Shahadan, 65, berkata, dia mendapat tahu mengenai gangguan bekalan air sekitar jam 9 pagi sebelum bertindak menadah air bagi membolehkan perniagaan berjalan seperti biasa.

"Bagaimanapun, air yang ada itu cukup digunakan sehingga jam 2 petang sahaja. Timbul pula masalah untuk basuh cawan dan gelas," katanya.

Sementara itu, pemilik Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim berkata, gangguan bekalan air sedikit sebanyak mengganggu operasi perniagaannya sejak kelmarin.

Hakimsa berkata, dia terpaksa meminta pekerjanya untuk mengambil bekalan air di tangki rumah anaknya di Seksyen U12 di sini untuk digunakan di premis perniagaannya itu.

"Walaupun pekerja sedikit penat, namun kita terpaksa buat begitu kerana bekalan air di restoran kami tiada sejak semalam," katanya.

Hakimsa berkata, dia menggunakan pinggan dan gelas pakai buang buat sementara waktu susulan daripada insiden gangguan bekalan air tersebut.

"Untuk jimatkan penggunaan air, kami terpaksa mengambil langkah tersebut untuk pastikan operasi perniagaan tidak terganggu," katanya.

Walaupun mengalami gangguan bekalan air, operasi perniagaan di Medan Selera Subang Hi-Tech, Shah Alam berjalan seperti biasa.
Walaupun mengalami gangguan bekalan air, operasi perniagaan di Medan Selera Subang Hi-Tech, Shah Alam berjalan seperti biasa.