Strategi kena betul, perlu ada visi jelas

Norizam berjabat tangan dengan bekas Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC di Kota Bharu kelmarin. -Foto: TRW Kelantan FC
Norizam berjabat tangan dengan bekas Presiden KAFA, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC di Kota Bharu kelmarin. -Foto: TRW Kelantan FC
A
A
A

MANA-MANA individu yang mahu melabur dan memiliki pasukan Liga Malaysia (Liga-M) perlu mempunyai kesabaran yang tinggi dengan tempoh sekurang-kurangnya lima tahun bagi memastikan sesebuah pasukan itu benar-benar stabil.

Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad berkata, individu berkenaan tidak boleh mengharapkan keuntungan dalam tempoh masa singkat selain perlu mempunyai visi yang jelas untuk mengemudi sesebuah pasukan.

“Sebenarnya tak ramai yang sanggup melabur dalam pasukan bola sepak ini kerana risikonya sangat tinggi, apatah lagi mengambil alih pasukan yang separuh mati. Tetapi kepada yang sudi tampil ke hadapan seperti (pemilik pasukan Kelantan) Norizam Tukiman, saya ucapkan syabas.

“Untuk menghidupkan sesebuah pasukan supaya menjadi stabil bagi saya ada tiga perkara utama. Pertama, pemilik baharu perlu memastikan segala hutang lapuk dan sebagainya diselesaikan kerana ia umpama barah.

“Kedua, beliau kena cuba bentuk pasukan yang mantap dengan mencari pemain dan jurulatih yang bagus kerana ia asas sesebuah pasukan terutama untuk menarik minat penyokong dan penonton. Dalam perkara ini, mungkin menelan perbelanjaan yang tinggi.

“Paling penting adalah seseorang itu mempunyai perancangan sekurang-kurangnya untuk lima tahun dari segi bajet dan sebagainya agar pasukan dapat menjadi stabil.

“Bola sepak ini bukan sekadar pegang untuk tempoh masa setahun atau dua tahun dah boleh nampak hasil. Ia sebenarnya memerlukan perancangan yang teliti, tak bolehlah sudah pegang setahun atau dua tahun kemudiannya lari,” kata Redzuan ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Menurut Redzuan, setiap pemilik pasukan mungkin boleh melihat acuan daripada pasukan luar negara terutama kelab-kelab kerdil yang mampu mempunyai penyokong yang ramai.

Artikel Berkaitan:

“Misalnya kalau kita tengok dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL). Bukan semua pasukan EPL kuat dan jadi juara, tetapi mampu mempunyai ramai penyokong dan penyokong mereka sanggup datang ke stadium membelanjakan duit membeli tiket.

“Kelab-kelab EPL itu berjaya tarik penyokong kerana mereka mempunyai struktur yang kuat dan diuruskan secara profesional. Pemilik pasukan Liga-M mesti mempunyai misi sebegini untuk memastikan pasukan mereka berjaya.

“Selepas dah berjaya stabilkan pasukan dan sebagainya barulah mungkin ada pelabur atau penaja yang akan masuk. Daripada sini pemilik itu mungkin boleh membuat untung,” ujarnya.

Justeru, beliau mengharapkan agar lebih ramai pihak atau individu yang akan tampil untuk menjadi bos baharu pasukan tempatan, sekali gus menghidupkan dan memeriahkan kembali saingan Liga-M.

“Namun, pesan saya yang hendak memiliki pasukan itu perlulah mempunyai minat dan visi yang betul. Kita tidak mahu nanti jadi seperti beberapa kelab yang terkubur separuh jalan,” jelasnya.