Apabila agama ditunggang

No Image Caption
A
A
A

KATA kawan saya, “Kita tak perlulah suruh dia letak jawatan. Teruk sangat tu. Dia sudah minta maaf dan sanggup menyumbangkan gaji empat bulan lagi. Lagipun dia ada jasa naikkan harga kelapa sawit. Kau tengok masa Pakatan Harapan perintah, harga sawit jatuh teruk.”

Saya sebenarnya merasakan cara berfikir sebegitu seperti ada sesuatu yang tidak kena. Cara berfikir mudah dengan melupakan kesalahan orang disebabkan dia berbuat sesuatu jasa kononnya kepada rakyat jelata.

Saya tertarik dengan penulisan Norden Mohammed dalam artikel bertajuk ‘Pemimpin Yang Berani Mengaku Salah’. Dalam perenggan yang kesembilan beliau ada memberitahu, “Andainya seorang pemimpin itu bersalah, dia sepatutnya lebih awal mengaku sebab dia lebih tahu. Dia juga harus sedia menerima implikasi di atas kesalahannya."

Tidak boleh pula dia menguar-uarkan jasa-jasanya yang lain selama ini untuk mengecilkan kesalahan yang telah dilakukan. Yang ingin diadili ialah kesalahan bukannya menghargai segala kebaikannya.”

Sebenarnya saya bukan ingin menulis tentang orang yang telah pun kena denda itu. Lagipun perkara itu masih dalam siasatan polis.

Cuma saya merujuk kepada kenyataan kawan saya yang mungkin boleh kita panggil sebagai penyokong tegar ataupun taksub. Apabila terlampau taksub walaupun tidak mengaku taksub, penyokong itu akan memejamkan mata sahaja ke atas apa yang berlaku.

Tidak perlu melihat atas kesalahan tetapi tengok apa jasa dan sumbangan yang telah diberikan. Biasanya penyokong begini mudah tertipu.

Dan ini juga memberi peluang kepada orang politik menjadi tidak bertanggungjawab. Mentang-mentang ada penyokong yang mungkin sanggup mati kerananya, maka dipergunakanlah sepenuhnya.

Artikel Berkaitan:

Sepatutnya mereka berfungsi sebagai rakyat yang lebih berkuasa. Setelah kerajaan dipilih, kita tidak perlu lagi berbicara tentang parti. Tetapi berfungsi sebagai rakyat dan kerajaan dengan pertanyaan, ‘apa kerajaan perlu buat untuk kami rakyat jelata yang telah memilih’.

Jika ada ketidakpatuhan atau ingkar, maka moleklah ditegur dan dikritik. Jika baik, maka kita tidak akan membantahnya tetapi tidaklah menyokong membabi buta.

Kuasa

Orang politik biasanya tidak kira daripada parti mana pun, sama ada yang memperjuangkan bangsa atau agama, mereka sebenarnya inginkan kuasa sahaja.

Kalau mereka benar-benar ikhlas, setelah melakukan kesalahan, mereka patutnya malu dan meletakkan jawatan.

Jika mereka tidak meletakkan jawatan dengan memberi alasan bermacam-macam, biasanya kita tahu mereka tamakkan kuasa. Mereka mungkin akan berkata dengan kuasa, baru boleh melakukan perubahan.

Jadi mereka akan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa. Cuma yang sedihnya ialah penyokongnya yang seolah-olah telah buta mata hati hanya kerana bersandarkan kepada kebaikan kononnya.

Dan baru-baru ini pula kita ada kenyataan daripada orang politik, yang bercerita tentang seseorang didapati bersalah melanggar perintah kuarantin sama seperti burung Hud-Hud. Dipetiknya justifikasi ini daripada al-Quran yang suci.

Saya berfikir juga, kenapa masih ada orang yang mengeluarkan atau mengaitkan dengan kenyataan begini hanya untuk menegakkan atau mempertahankan kesalahan orang lain.

Mungkin juga sebabnya, itulah yang hendak didengar oleh penyokong yang taksub agaknya. Mereka tahu akan cara berfikir penyokong-penyokong mereka yang taksub.

Dan kata kawan saya lagi untuk menguatkan lagi hujahnya, “Rasulullah pun maafkan umatnya, ALLAH pun Maha Pengasih dan Penyayang.”

Lantas terdetik di hati saya lagi, ‘begitulah kecelaruan fikiran kita sekarang, lebih-lebih lagi apabila agama ditunggang, kuasa pun bertukar tangan dan pentaksub angguk-angguk bersorak riang tanpa bantahan’.

*Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bercerita, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com