X

Kindly register in order to view this article
!

FAM belum putuskan hantar pasukan B-19 ke Sukan SEA

FAM
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) belum memutuskan sama ada akan menghantar pasukan Bawah-19 (B-19) atau pasukan lain ke Sukan SEA 2021 di Vietnam.

Naib Presiden FAM, Datuk S Sivasundram berkata, keputusan hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“Sukan SEA kita belum tentukan, sebab ada mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Bola Sepak bagi menentukan skuad mana akan dihantar ke Vietnam nanti. Sama ada B-19 atau pasukan mana,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Pemilihan Kriteria Sukan SEA 2021 di Wisma OCM di sini hari ini.

MOM sebelum ini mengumumkan untuk menghantar lebih ramai atlet muda bertanding di Sukan SEA Vietnam 2021, yang dianggap sebagai medan pendedahan terbaik bagi mempersiapkan pelapis negara sebelum beraksi di temasya lebih besar termasuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, Md Dali Wahid berkata, FAM telah memberi cadangan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk mewajibkan sukan futsal dipertandingkan di Sukan Malaysia (Sukma).

Jelasnya, cadangan itu adalah bagi memastikan sukan futsal berkembang dan dalam masa sama memberi pendedahan kepada pemain negara.

“FAM beri cadangan minta untuk wajibkan futsal wanita dan lelaki dipertandingkan di Sukma untuk penganjuran seterusnya. Tapi Sukma Johor memang tidak ada futsal. Hal ini adalah kerana pasukan futsal negara agak bagus di Asia Tenggara.

“Kalau ikut ranking dunia pun, Malaysia berada di kedudukan ke-67. Kita berpeluang untuk pergi jauh. Jika tiada pertandingan agak sukar untuk mencari pemain baharu,” katanya.- Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!