Keputusan sampel air diserah kepada JAS dalam masa terdekat

Khairy berucap pada Majlis Pelancaran Geran Padanan Impak Sosial di Pusat Sains Negara hari ini. - Foto Bernama
Khairy berucap pada Majlis Pelancaran Geran Padanan Impak Sosial di Pusat Sains Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kimia dijangka menyerahkan keputusan analisis sampel air mentah yang tercemar di kawasan Sungai Gong, Rawang kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam masa terdekat, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, Jabatan Kimia telah menerima sampel sebenar dari kilang yang disyaki melakukan pencemaran itu daripada JAS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“JAS sedang membuat analisis Sebatian Organik Meruap (VOC) bagi empat sampel yang diterima daripada KKM, analisis VOC Hidrokarbon bagi empat sampel daripada LUAS dan analisis mengenai buangan terjadual bagi sampel JAS.

"Semua ini sedang dianalisis oleh Jabatan Kimia dan saya sudah arahkan mereka mempercepat analisis ini. Sebaik sahaja keputusan diketahui, kita akan serahkan kepada JAS untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Geran Padanan Impak Sosial (SIM) di Pusat Sains Negara hari ini.

Khairy berkata demikian bagi memperinci tindakan kementerian berhubung isu pencemaran bau sehingga menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1,2, 3 dan Rantau Panjang sejak pagi semalam.

Khairy (kanan) ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Geran Padanan Impak Sosial di Pusat Sains Negara hari ini. - Foto Bernama
Khairy (kanan) ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Geran Padanan Impak Sosial di Pusat Sains Negara hari ini. - Foto Bernama

Pencemaran itu menjejaskan sejumlah 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kementerian berkaitan perlu menyemak semula undang-undang berhubung pencemaran bagi memastikan hukuman lebih berat dikenakan ke atas pihak terbabit.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu ketika melancarkan Geran SIM, Khairy mengalu-alukan lebih penyertaan bagi merancakkan sektor perusahaan sosial (SE) dengan memanfaatkan geran bernilai RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Jangka Pendek Nasional pada Jun lepas.

Beliau berkata, Geran SIM adalah bukti keprihatinan kerajaan sebagai mengiktiraf usaha komuniti SE dalam membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Melalui Geran SIM, kerajaan ingin mendemokrasikan kemajuan sosial. Daripada pandemik Covid-19, kerajaan sedar bahawa penyertaan yang inklusif dari setiap lapisan masyarakat adalah penting untuk menangani isu sosioekonomi,” katanya.

Pendaftaran bagi Geran SIM di bawah seliaan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia itu telah dibuka sejak bulan lepas selain bertujuan menyokong SE tempatan serta perniagaan impak sosial yang lain untuk mengekalkan inisiatif dan program.

Geran SIM turut memanfaatkan keupayaan untuk mengumpul dana, meningkatkan kesedaran orang awam dalam inovasi sosial serta memperluas penyelesaian mereka untuk kebaikan alam sekitar dan sosial.- Bernama

--