Petronas tidak akan berhentikan, kurangkan pekerja

Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dalam sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini memberi jaminan bahawa tiada pekerjanya yang akan diberhentikan atau jumlah mereka dikurangkan walaupun kumpulan itu dalam proses mengurangkan kos modal untuk memperkukuh daya tahannya.

Bagaimanapun, syarikat minyak dan gas negara itu sedang mempertimbang kemungkinan melaksanakan potongan gaji berikutan persekitaran pasaran industri yang mencabar, kata Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz.

“Perbincangan akhir itu masih lagi dijalankan. Sebarang keputusan (muktamad) mengenai perkara itu akan disampaikan kepada para pekerja terlebih dahulu.

"Kita telah meneliti pilihan yang ada (bagi mengurangkan kos) dan pada masa sama mahu menjadi pengurusan yang bertanggungjawab.

"Kita juga tidak mahu meneruskan pilihan untuk mengurangkan atau memberhentikan pekerja. Kita perlu terus melangkah dan berkongsi keperitan ini sebagai satu pasukan kerja, namun tidak berada dalam kedudukan untuk melaksanakan langkah pemberhentian pekerja," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi kewangan kumpulan itu bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2020 di sini, hari ini.

Petronas mempunyai seramai 47,669 pekerja setakat 2019.

Perolehan kumpulan itu susut sebanyak 23 peratus bagi separuh pertama 2020 kepada RM93.6 bilion berikutan purata harga direalisasikan bagi semua produk dan jumlah jualan yang berkurangan, terutamanya untuk produk petroleum, gas asli cecair (LNG) dan gas diproses.

Mengulas selanjutnya, Tengku Muhammad Taufik berkata, prospek sedia ada kekal mencabar manakala prestasi kumpulan bagi 2020 akan terjejas ketara susulan harga minyak yang rendah serta permintaan yang berkurangan.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, kumpulan berkenaan merancang untuk mengekalkan mudah tunai menerusi pengurangan sebanyak 21 peratus dalam kos modal serta perbelanjaan operasi lebih rendah yang disasarkan menjelang akhir tahun ini.- Bernama