Luahan kreatif atas kanvas

 Ahmad Al Hafidz menunjukkan antara lukisan motosikal berkuasa tinggi yang menjadi lakarannya di Kota Bharu baru-baru ini.
Ahmad Al Hafidz menunjukkan antara lukisan motosikal berkuasa tinggi yang menjadi lakarannya di Kota Bharu baru-baru ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Walaupun tidak dapat aktif dalam sukan permotoran akibat kemalangan yang hampir meragut nyawanya namun ia bukan penghalang bagi seorang lelaki dari Perak untuk tidak melupakan dunia permotoran yang diminati itu.

Ahmad Al Hafidz Musa, 36, kini menzahirkan kecintaannya terhadap sukan permotoran itu menerusi lukisan garisan radikal malah dia menjadi satu-satunya pengkarya motosikal di Malaysia.

Figura hebat dalam lukisan garisan radikal ini bukan sahaja terkenal di Malaysia malah karya-karyanya menjadi bualan dan dikenali di luar negara.

Menurutnya, setiap lukisan yang dibuat itu berdasarkan kepada minatnya dalam dunia permotoran dan beliau mengabdikan keindahan sesebuah motosikal itu dari alam nyata kepada kanvas.

Antara jenama motosikal yang pernah menjadi lakaran Hafidz ialah Triumph, Moto Guzzi, Ducati, Harley Davidson dan banyak lagi.

Walaupun dunia lukisan permotoran tidaklah gah sebagaimana karya lukisan yang lain namun bapa kepada dua anak itu mampu membawa nama Malaysia ke luar negara dan berkhidmat dengan selebriti-selebriti terkenal Hollywood.

Ahmad Al Hafidz yang pernah berkhidmat sebagai pengarah seni di sebuah syarikat swasta di sini berkata, dia percaya dunia lakaran motosikal sebenarnya mempunyai peminat tersendiri.

"Sebelum ini saya lukis sebab saya minat, tapi sekarang rupa-rupanya lukisan saya ini ada pengikut dan peminat tersendiri. Mungkin tidak nampak secara realiti, tapi ramai yang menghubungi saya untuk minta saya lukis pelbagai jenis motosikal.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Al Hafidz meluangkan masa berkarya di Rumah Singgora, Kota Bharu.
Ahmad Al Hafidz meluangkan masa berkarya di Rumah Singgora, Kota Bharu.

"Mereka sanggup bayar berapa pun asalkan ia datang dari karya saya. Itu adalah harga yang termahal saya terima sebagai seorang pengkarya, terasa dihargai," katanya kepada Sinar Harian di sini baru-baru ini.

Bermula serendah RM450 sehingga mencecah lebih RM5,000, Hafidz memberitahu, harga bukanlah satu ukuran untuk setiap lukisannya, namun nilai yang hendak disampaikan dan digambarkan itu lebih mahal daripada harga lukisan itu sendiri.

"Harga bukan ukuran, walaupun kita mampu capai sehingga RM10,000 sebulan, tapi apa yang kita nak lihat adalah kesetiaan dan sejauh mana pembeli itu menilai lukisan kita.

"Bukan mudah, tapi itulah cabarannya. Tidak ada satu inci pun bahagian badan motosikal tersebut yang saya tinggal, semua saya lukis, walau sekecil skru sekali pun. Itulah nilai kesenian yang kita mahukan," katanya.

Pemegang Diploma Seni Halus dan Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Grafik Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini juga berkongsi, pernah beberapa kali hasil lukisannya dicuri terutamanya di luar negara.

Walaupun pelanggannya kebanyakannya dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, Australia, United Kingdom, Portugal dan banyak lagi namun tetap ada juga 'pelanggan senyap' yang berjaya mencuri hasil karyanya.

Bukan hanya motosikal, tapi kenderaan pacuan empat roda juga turut menjadi kegilaan peminat lukisan Ahmad Al Hafidz.
Bukan hanya motosikal, tapi kenderaan pacuan empat roda juga turut menjadi kegilaan peminat lukisan Ahmad Al Hafidz.

"Ada yang hubungi saya dari luar negara mengatakan ada individu yang menggunakan karya saya. Pengadu dari negara lain, pencuri pun dari negara lain.

"Tapi dunia lukisan ini tidak ke mana, semua orang akan tahu dan cam yang itu adalah lukisan saya dan hasil karya saya, sebab itu mereka hubungi dan beritahu saya.

"Mencuri karya ini bukan satu kesalahan yang kecil, apa salahnya kalau kita maklumkan kepada pengkarya tersebut sebelum menggunakannya untuk sebarang tujuan," katanya.

Mengambil masa dua hingga tiga jam untuk menyiapkan satu-satu lakaran, Hafidz yang menyanjungi pelukis Aie Sulong dan Pablo Picasso ini memberitahu, kini masa diberikan sepenuhnya untuk berkarya dan ia turut mendapat sokongan padu dari isteri dan keluarga.