Penduduk tunggu giliran angkut air

Penduduk Tanjong Karang beratur menunggu giliran menadah air di pili awam disediakan Air Selangor di Pekan Tanjong Karang hari ini.
Penduduk Tanjong Karang beratur menunggu giliran menadah air di pili awam disediakan Air Selangor di Pekan Tanjong Karang hari ini.
A
A
A

TANJONG KARANG - Penduduk menunggu giliran untuk menadah air di pili awam disediakan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di Pekan Tanjong Karang di sini berikutan gangguan bekalan air sejak semalam.

Seorang penduduk, Norjilah Arshad, 55, berkata, dia sudah mengangkat enam tong air dan botol air mineral bagi kegunaan ahli keluarga dan keperluan perniagaan kedai makan yang diusahakannya.

"Memang susah apabila tiada air, apatah lagi di rumah saya ada lapan penghuni terdiri daripada suami, anak dan cucu.

"Kebetulan saya berniaga kedai makan pada waktu petang hingga malam. Jika tiada bekalan air, operasi premis terpaksa ditutup sehingga keadaan kembali pulih," katanya kepada Sinar Harian.

Norjilah yang menetap di Kampung Ujong Permatang berkata, dia sekeluarga terpaksa menumpang mandi di masjid semalam kerana ketiadaan bekalan air di rumah.

Seorang peniaga sate, Rosmina Ishak, 45, berkata, perniagaannya boleh terjejas sekiranya masalah bekalan air terus berlarutan.

"Kami berniaga sate misalnya memerlukan air mencukupi terutama hendak membasuh ayam, mencuci bekas dan barangan perniagaan lain," katanya.

Rosmina berkata, dia sudah mengangkut 50 plastik air di pili disediakan untuk tujuan tersebut

Artikel Berkaitan:

"Kami rasa sengsara apabila tiada air dan berharap gangguan ini pulih segera dalam waktu terdekat," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk menadah dan mengangkut air di pili awam disediakan Air Selangor di Pekan Tanjong Karang.

Difahamkan pili terbabit mula menyediakan dan mengagihkan bekalan air bermula pada jam 9 pagi tadi dengan beroperasi selama 24 jam.

Semalam, sebanyak 1, 292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula jam 10 pagi semalam berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang dihenti tugas disebabkan berlaku pencemaran air mentah di kawasan Sungai Gong.