Keluarga Veveonah terima rumah sarang burung jika Warisan menang

Junz Wong (Gambar kecil: Veveonah Mosibin)
Junz Wong (Gambar kecil: Veveonah Mosibin)
A
A
A

KOTA KINABALU - Parti Warisan Sabah (Warisan) akan membina rumah sarang burung walit untuk keluarga Veveonah Mosibin sekiranya parti itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut laporan Malaysiakini, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, sekiranya Warisan menang besar dalam PRN pada 26 September ini, beliau juga secara peribadi akan memastikan penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan keluarganya menerima rumah sarang burung percuma.

Wong berkata, pemberian rumah sarang burung walit itu merupakan lanjutan daripada program pembinaan rumah sarang burung walit oleh Kerajaan Warisan yang telah dilaksanakan sejak 2018.

“Pitas merupakan kampung halaman Veveonah yang dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) selama beberapa kali pilihan raya.

“Namun Pitas dan Kudat telah lama dipegang oleh UMNO tetapi ia merupakan daerah termiskin di Malaysia.

"Itulah sebabnya jika Warisan berjaya mengambil alih Kerajaan Sabah, kami akan mengubah Pitas menjadi pusat sarang burung," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, terdapat 150 rumah sarang burung walit yang dibina di Sabah pada tahun 2019 di mana 55 daripadanya dibina di Pitas, daerah Kudat.

Menurutnya, pembinaan rumah burung walit berkenaan merupakan program untuk membantu rakyat Sabah yang dikenal pasti miskin bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Artikel Berkaitan:

Veveonah, 19, yang berasal dari Kampung Sapatalang, Pitas mula tular pada Jun lalu selepas dia memuat naik video ke akaun YouTube miliknya yang memaparkan dia terpaksa memanjat pokok bagi mendapatkan akses internet bagi menduduki peperiksaan universiti.

Namun, dia kembali tular semula semalam selepas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mengeluarkan mendakwa Veveonah tidak menjalani sebarang peperiksaan dan hanya membuat kandungan tular terbabit untuk hiburan dan menempah nama.

Bagaimanapun, beberapa jam kemudian Zahidi kemudian meminta maaf kepada Veveonah melalui satu hantaran di laman Facebook atas dakwaan tidak benar setelah dia mendapat maklumat sebenar perkara berkenaan.